Politik

Belanjawan 2021: Tengku Zafrul perlu jumpa Anwar, kata Kit Siang

MENTERI Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz perlu berjumpa dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berbincangkan mengenai cadangan-cadangan ahli Parlimen pembangkang terhadap Belanjawan 2021.

Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, pertemuan Tengku Zafrul dengan ahli Parlimen pembangkang sebelum pembentangan Belanjawan 2021 tanpa mempertimbangkan dan menerima sebarang cadangan-cadangan yang diberi adalah satu tindakan yang tidak memadai.

Justeru katanya, memandangkan Belanjawan 2021 telah seminggu dibahaskan di Dewan Rakyat, Tengku Zafrul perlu berjumpa dengan Anwar untuk membincangkan bagaimana beliau boleh memasukkan pendapat dan cadangan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

“Supaya Belanjawan 2021 ini boleh benar-benar menjadi belanjawan perpaduan yang menjadi asas kepada usaha melawan Covid-19 dengan melibatkan “keseluruhan kerajaan” dan “keseluruhan masyarakat” dan rakyat Malaysia,” kata Ahli Parlimen Iskadar Puteri itu.

Kit Siang yang juga penasihat parti DAP dalam kenyataan terbaharunya turut mempersoalkan sama ada Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul akan bertahan selama 10 hari lagi sehingga pengundian bacaan kedua yang akan berlangsung pada 25 November ini.

Beliau mendakwa ahli Parlimen pembangkang telah sedaya upaya menyokong Belanjawan 2021 namun Tengku Zafrul telah mengambil kesempatan ke atas nasihat Yang di Pertuan Agong supaya ahli-ahli Parlimen menyokong Belanjawan tersebut untuk memulihkan ekonomi negara.

“Perkara ini, di mana Tengku Zafrul menjangkakan Ahli-ahli Parlimen memberikan cek kosong kepada kerajaan selepas Yang di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja menolak cadangan darurat kerajaan ini adalah satu perkara yang amat tidak bertanggungjawab.

“Semalam, Menteri Kewangan telah memberikan amaran, mengatakan yang gaji para penjawat awam, petugas kesihatan, dan bantuan kewangan akan terhalang jika Belanjawan 2021 ini tidak diluluskan.

“Saya bersetuju dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kenyataan Tengku Zafrul ini adalah satu ugutan yang tidak boleh diterima dan merupakan satu cubaan untuk mengetepikan kritikan yang sah terhadap Belanjawan 2021 yang tidak dipertimbangkan oleh Kabinet,” kata Kit Siang.

Parlimen kini sedang membahaskan bacaan kedua Belanjawan 2021 pada peringkat dasar dengan perbahasan ahli Parliumen akan berakhir pada hari Khamis ini.

Ia kemudian disusuli dengan penggulungan daripada para menteri dan penggulungan akhir oleh Menteri Kewangan yang dijangkakan pada 25 November.

Selepas itu ia akan disusuli dengan undian oleh ahli Parlimen untuk menyokong atau menolak terhadap bacaan kedua Belanjawan 2021.-SM

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button