fbpx
Parlimen

Belanjawan 2021: Pembangkang tewas dalam undi belah bahagi pertama

PERCUBAAN pertama kali pembangkang untuk tidak meluluskan Belanjawan 2021 peringkat jawatankuasa Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan melalui undi belah bahagi gagal.

Peruntukan Belanjawan 2021 kepada Jabatan Perdana Menteri diluluskan selepas 105 ahli Parlimen mengundi untuk menyokong dan 95 ahli Parlimen lagi mengundi untuk tidak menyokong.

Seramai 20 ahli Parlimen tidak hadir ketika pengundian dibuat kira-kira pukul 2.30 petang tadi.

Keputusan itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam sidang hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen PH Kota Raja, Mohamad Sabu meminta supaya undi belah bahagi ketika undian suara dilaksanakan selepas selesai sesi penggulungan peringkat jawatankuasa oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mustapa Mohamed (Ekonomi), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Hal Ehwal Agama), Datuk Takiyuddin Hassan (Parlimen dan Undang-undang) dan Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak).


Azhar membenarkan undi belah bahagi dilakukan setelah 15 Ahli Parlimen bangkit menyokong cadangan tersebut.

Ketika pengundian dibuat Dewan Rakyat kecoh seketika apabila seorang ahli Parlimen kerajaan dilihat masuk ke dalam Dewan.

Kehadiran ahli Parlimen kerajaan terbabit menyebabkan ahli Pembangkang menjerit dan membantah kerana sesi pengundian telah berlalu.

Pada Khamis lalu pemimpin pembangkang dikritik kerana tidak menyokong usul Ahli Parlimen Poko Sena Datuk Mahfuz Omar untuk melakukan undi belah bahagi terhadap Belanjawan 2021 peringkat dasar.

Ramai kalangan ahli Parlimen pembangkang berikrar untuk tidak meluluskan Belanjawan 2021 yang diberikan kepada Kementerian pada peringkat jawatankuasa.-SM

 

 

 

 

(Visited 146 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button