Politik

UMNO: Jangan ada lagi `tukang amin’

KOMENTAR

SYUKUR Alhamdulillah UMNO sudah hampir kembali ke landasannya – suara perjuangan orang Melayu.

Barangkali masih terlalu awal untuk kita orang Melayu mahu melihat aras piawaiannya.

Namun sekurang-kurangnya UMNO telah meletakkan barisan orangnya dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Suatu cabaran besar bagi tiga juta lebih ahli UMNO dan semua pemimpinnya agar menginsafi diri bahawa mereka telah terlalu jauh meninggalkan tuntutan perjuangan parti.

Latihan menghayati Fasal 3 ini boleh dikatakan dalam keadaan sambil lewa atau dalam peribahasa ‘terpijak pergi terlanda pulang’.

Sebab itu kebanyakan mereka yang masuk menjadi ahli UMNO bukan untuk berjuang tetapi berangan-angan untuk rezeki poket dan kedudukan.

Agaknya benar kata-kata Presiden Amerika Syarikat ke-33 (1945-1953), Harry S. Truman: “Kamu tidak mungkin kaya-raya dalam politik melainkan kamu jadi ahli politik jahat”.

Sebilangan wakil rakyat UMNO hanya faham Fasal 3 `gitu-gitu sahaja’. Justeru, bila berkuasa lupa diri; lupa bahasa, lupa budaya dan lupa siapa Melayu dari sudut perjuangan.

Sekiranya disenaraikan masalah dalaman UMNO semenjak zaman Tunku hingga kebanyakan isunya berpunca dari pergeseran pemimpin, bukannya dari bawah.

Bak ikan, kepalanya berbau dan mudarat dahulu dari yang lain.

Ada bekas pimpinan tertinggi parti dan kerajaan yang tidak menunjukkan sifat berbudi bahasa, lantas melempar tahi di khalayak ramai.

Pimpinan berkuasa pula guna kuasa kerajaan menghukum dan mengenakan sesuatu.

Kedua-duanya ada kudis belaka, sekurang-kurangnya kurap menggatal dalam baju masing-masing.

Bila pemimpin bersengketa, warga di bawah terumbang-ambing mencari kejernihan dalam suasana tiada penjelasan menyeluruh.

UMNO mesti balik kepada kebijaksanaan perumpaan jarum bila menusuk, ia menaub. Bukan seperti gunting, bila ke depan ia memotong.

Tarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berselerak.

Jangan lagi ada orang sekeliling hanya mahu jadi `penasihat’ yang membodek.

Jangan ada lagi `tukang-tukang amin’ yang tidak memperbetulkan langkah-langkah sumbang pemimpin.

Bersetia bermakna mesti pegang petua Bersatu. Presiden dan timbalan presiden serta Naib-Naib Presiden kini harus terus berinteraksi dan berunding antara satu sama lain demi kebaikan parti.

Gunakan arena Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bahagian dan cawangan untuk perundingan dan kemesraan.

Muka berpandangan, budi kedapatan. – SM

(Visited 151 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button