Jenayah

Dua pegawai kanan polis antara enam lelaki ditahan miliki air ketum

Dua pegawai kanan polis antara enam lelaki ditahan apabila memiliki air ketum berkapasiti 5,200 mililiter (ml) di sebuah rumah di Alor Gajah, Melaka di sini malam tadi.

Masing-masing berjawatan Deputi Supretenden dan Inspektor serta tiga anggota berpangkat sarjan dan Lans Koperal termasuk seorang awam di mana kesemua suspek berusia antara 31 hingga 55 tahun ditahan kira-kira pukul 11.30 malam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, serbuan di rumah tersebut dilakukan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Menurutnya, kesemua pegawai polis yang ditahan bertugas di Kontinjen Melaka selain seorang kontraktor berusia 44 tahun.

“Dua pegawai kanan polis masing-masing berusia 48 dan 36 tahun, manakala dua pegawai rendah adalah dua sarjan dan seorang Lans Koperal pula berusia 55, 34, dan 31 tahun,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Zainol berkata, seorang kontraktor yang turut ditahan pula beralamat di Taman Melaka Perdana, Alor Gajah.

Dalam serbuan tersebut katanya, polis turut merampas tiga botol lutsinar dipercayai berisi cecair ketum seberat dua liter, 1.9 liter dan 500 mililiter (ml) serta tiga bungkus plastik mengandungi 800 ml air ketum.

Katanya, turut dirampas sepasang uniform operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan satu besen berwarna hijau.

Menurutnya, permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat di Mahkamah Alor Gajah hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 30 (2) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 30 (5) akta
sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Zainol berkata, Polis Melaka akan memastikan kes tersebut disiasat secara telus dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai polis yang boleh memberikan implikasi negatif terhadap nama baik PDRM khususnya di Melaka. – SM

(Visited 29 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button