NasionalNegeriPendidikan

Penerbit UniMAP keluarkan 1, 526 artikel jurnal

PENERBIT Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mengeluarkan 1, 526 artikel jurnal meliputi pelbagai bidang kejuruteraan serta sains sosial dan kemanusiaan di dalam 11 jurnal oleh fakulti, institut dan Pusat Kecemerlangan (COE).

Jurnal-jurnal itu juga telah menerima pelbagai penarafan indeks di peringkat kebangsaan dan antarabangsa seperti Scopus, EBSCOhost, Web of Science, ResearchGate, WorldCat, Ulrichweb, Asian Citation Index (ACI), Asian Digital Library (ADL), GoogleScholar,MyCite dan MyJurnal.

Dengan penambahan jumlah jurnal yang diterbitkan oleh Penerbit UniMAP, satu pendekatan pengurusan penerbitan ditambah baik selaras dengan perkembangan teknologi digital bagi menggantikan kaedah konvensional, iaitu menggunakan sistem pengurusan editorial secara dalam talian sepenuhnya.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, atas dasar itu e-journal@UniMAP dibangunkan bagi membantu editorial jurnal menguruskan jurnal dalam aspek penyerahan artikel, penilaian, penyuntingan dan dapat memastikan jurnal diterbitkan dalam masa yang ditetapkan.

Ujarnya, E-journal@UniMAP ini dibangunkan secara “open source” dengan menggunakan platform Online Journal System (OJS) oleh Public Knowledge Project (PKP) dan sistem ini tidak melibatkan sebarang kos pembangunan dan semua jurnal-jurnal terbitan Penerbit UniMAP akan dipusatkan di dalam portal ini.

“Penggunaan sistem dalam talian ini juga dapat meningkatkan penarafan indeks-indeks antarabangsa seperti Scopus, Web of Science, ESCI dan ACI selain dapat diintegrasikan dengan Digital Object Identifier (DOI) pada setiap artikel yang diterbitkan,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran E-Journal@UniMAP dan Frappehub Conference Portal di Auditorium Canselori Tuanku Syed Sirajuddin, di sini.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Ir. Dr. Rizalafande Che Ismail, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP, Prof Madya Dr Naimah Ibrahim dan Pengarah Penerbit UniMAP, Zulhillizan Othman.

Dalam membangunkan sistem dalam talian yang berpusat bagi pengurusan keseluruhan perjalanan persidangan, Frappehub Conference Portal pula dibangunkan untuk digunakan bagi menguruskan proses penyerahan (submission) dan ulasan (review) manuskrip, pendaftaran, pembayaran dan lain-lain.

Tambah beliau, persidangan yang dianjurkan oleh UniMAP dengan menggunakan perkhidmatan Frappehub Conference Portal itu tidak akan dikenakan sebarang caj perkhidmatan bagi membolehkan penganjur persidangan mencatat keuntungan maksimum bagi menyumbang ke arah penjanaan universiti.

“Sistem ini juga dapat menerima bayaran melalui kad kredit dan Financial Process Exchange (FPX) serta ianya juga terbuka untuk pembayaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, Frappehub Conference Portal buat pertama kalinya akan digunakan bagi penganjuran The Global Trends in Engineering, Science & Technology Congress 2023 (GTEST2023) oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) dan RMC yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur, pada 4 hingga 5 September 2023.

“GTEST2023 menggabungkan sembilan persidangan antarabangsa yang akan dijalankan secara serentak di mana setiap persidangan akan memfokuskan kepada isu-isu yang berkaitan dengan tema persidangan masing-masing,” katanya lagi.

Untuk rekod, aktiviti penerbitan jurnal di UniMAP bermula pada tahun 2004 dengan penerbitan jurnal pertama yang dikenali sebagai Jurnal Penyelidikan dan Pendidikan Kejuruteraan dan Ketua Editor pertama jurnal berkenaan ialah mantan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Dr. Uda Hashim.

Pada majlis itu, Zaliman turut menyampaikan penghargaan beliau kepada mantan Ketua Editor Jurnal sebagai tanda terima kasih dalam membantu pembinaan jurnal yang lebih mantap dan mencapai penarafan jurnal yang boleh membanggakan universiti dan ucapan terima kasih kepada pihak Pusat Pembangunan dan Pengurusan Digital (DMDC) UniMAP atas kerjasama yang baik dalam membantu Penerbit UniMAP membangunkan platform e-Journal@UniMAP. – SM

(Visited 214 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button