fbpx
Berita GajetGajet

Bela anak ayam alih ketagihan gajet

PEMERINTAH di Bandung, Indonesia memperkenalkan program membela anak ayam bagi mengatasi masalah ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak di kawasan itu.

Pada program itu, kanak-kanak akan diberikan seekor anak ayam untuk dijaga dan sekiranya berjaya membelanya sehingga dewasa mereka akan diberikan lagi tiga ekor anak ayam yang baharu.

Terbaharu, perkongsian seorang wanita yang menggunakan akuan @krystalk2me di Twitternya yang turut berkongsi gambar adiknya yang memelihara anak ayam sehingga dewasa mendapat pelbagai respons positif daripada netizen.

Dalam hantarannya itu dia memberitahu “Memperkenalkan, adik saya, Kiptan Aulia Lestari yang memelihara dari anak ayam itu berwarna kuning sehingga hilang warnanya (ayam dah dewasa).

Menurutnya, kaedah begini sememangnya sangat berkesan ke atas adiknya.

Katanya, adiknya masih lagi bermain telefon pintar dan juga menonton YouTube namun kekerapannya adalah lebih sedikit berbanding sebelum ini.

“Selama memelihara ayam, dia masih main games dan menonton YouTube namun akan lebih meluangkan masa bersama ayamnya bila pulang sekolah. Raking 10, jadilah seperti adik saya semua,” tulisnya.

@krystalk2me turut berkongsi video yang memaparkan adiknya bermain dengan ayamnya dan posting yang dimuat naik kini tular di media sosial yang meraih 109,900 tontonan serta menerima 25,000 ulang kicau.

Rata-rata netizen menyanjung cara adiknya membela anak ayam tersebut dan tidak menyangka seorang kanak-kanak perempuan mampu melakukannya.

Danielamm memberitahu “Aku respect adik ini membela ayam kerana bukan mudah sebenarnya untuk membela ayam sehinggakan ayam tersebut lebih besar daripada dia..teruskan usahamu adik.”

Dalam pada itu, ada juga di antara netizen yang mahukan perkara tersebut dilakukan oleh kerajaan bagi membendung kanak-kanak daripada terus melekat bersama gajet.

“Terbaik cara pemerintah Indonesia melakukannya dan saya rasa kerajaan Malaysia boleh mencari jalan seperti ini bagi membanteras kanak-kanak yang terlalu asyik dengan telefon pintar mereka,” tulisnya di Twitter.

Show More

Related Articles

Back to top button