Nasional

Bekerja & Berusaha Siapkan PhD Tak Halang Dr Nur Amalina Hamil Anak Pertama

Pakar bedah kelahiran Malaysia yang bertugas di London, Dr Nur Amalina Che Bakri mengesahkan dirinya hamil anak pertama.

Dr Nur Amalina, 35, sudah berkahwin tahun lalu dengan jejaka Inggeris, Alexander Charles.

Berkongsi berita gembira itu melalui laman media sosial Instagram, Dr Nur Amalina berkata beliau amat teruja untuk berkongsi pengalaman kehamilannya.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi berita indah ini dengan anda – saya hamil! Saya mengambil sedikit masa untuk berkongsi perkara ini dengan anda semua.

“Walaupun media sosial ialah platform yang hebat untuk berkongsi siaran pendidikan dan pengalaman positif, ia juga boleh menjadi tempat yang sukar dan menghakimi,” katanya.


Beliau berkata, bekerja dalam tempoh yang panjang dan pada masa sama menyiapkan PhD (Ijazah Doktor Falsafah) adalah yang sukar dan memenatkan.

Katanya, dia melalui trimester pertama yang sukar sehingga awal trimester kedua terutamanya dengan alahan dan muntah sehingga hilang berat badan.

“Keletihan juga memainkan faktor. Apabila anda terpaksa menyiapkan pelbagai tugas, kadang-kala ia boleh menjadi cabaran yang nyata.

“Perkara yang dahulu boleh saya lakukan tiba-tiba menjadi satu tugas yang sukar,” katanya.

Dr Nur Amalina berkata, kajian diterbitkan dalam jurnal JAMA Surgery menunjukkan pakar bedah berkemungkinan mengalami kesukaran ketika hamil dan melahirkan anak sehingga terpaksa menangguhkan kehamilan mereka untuk mencari masa yang sesuai.

Bagaimanapun, beliau bersyukur kerana dikurniakan suami dan ibu, Sabariah Hassan, yang sentiasa memahami serta menyokong.

“Saya sangat bertuah kerana mempunyai suami yang sangat menyokong untuk melalui perjalanan ini bersama-sama.

“Ya, dia sangat teruja dan akan membaca semua buku berkaitan bayi yang disyorkan. Dia mungkin tahu lebih banyak mengenai kehamilan berbanding saya.

“Ibu saya pula sangat mengagumkan dan sentiasa memastikan saya makan cukup. Ibu akan membekukan banyak makanan di dalam peti sejuk sebelum dia pulang ke Malaysia,” katanya.

Katanya, keadaannya kini bertambah baik dan berasa seronok melalui perjalanan sebagai seorang wanita hamil apabila dapat merasai pergerakan bayi di dalam perut.

(Visited 396 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button