Ekonomi

GLC, GLIC beri peluang kepada wanita naik pangkat – PM Anwar

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat Syarikat Pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) membuat perubahan dalam memberi ruang dan peluang pekerjaan kepada golongan wanita termasuk kenaikan pangkat.

Beliau berkata, keputusan itu berdasarkan laporan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang melihat peratusan wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah di syarikat sektor swasta hanya 29 peratus sehingga 31 Disember 2022.

Sedangkan di sektor kerajaan pula, kata Anwar, peratusan wanita di peringkat pembuat keputusan menunjukkan kemajuan walau pun terdapat ruang untuk diperbaiki.

“Saya mahu semua syarikat GLC dan GLIC ambil perhatian. Semua pelantikan baharu dalam GLC dan GLIC serta peluang-peluang kenaikan pangkat mengambil kira golongan wanita.

“Saya mahu suatu perubahan. Sudah tentu pilih yang berkelayakan tetapi mesti ada kemajuan nyata supaya kita mempertingkatkan lagi peranan wanita,” katanya.

Dalam masa sama, Perdana Menteri juga berkata, peranan wanita di Malaysia boleh dibanggakan namun belum mencukupi dan masih ada ruang untuk diperbaiki.

“Pengiktirafan masih tidak cukup. Masih ada berlakunya gangguan seksual bahkan bukan sahaja diskriminasi tetapi juga kurang pengiktirafan sehingga sebahagian wanita mengeluh.

“Kecekalan dan kegigihan mereka, orang perempuan ini, tidak diiktiraf sama dengan lelaki. Kita harus sentiasa meneroka pemikiran baharu.

“Kita perlu juga meneroka idea baharu kerana kalau kita lihat dari segi sejarah dalam Islam, pengiktirafan wanita itu sangat penting,” katanya pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 di Felda, Kuala Lumpur.

Anwar juga berkata, peranan kepentingan wanita dalam Malaysia Madani tidak akan muncul tanpa kekuatan wanita. – SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button