Nasional

Bekas Tok Sidang nafi terima rasuah RM500

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 13 April – Seorang bekas Tok Sidang mengaku tidak bersalah atas tuduhan meminta dan menerima rasuah
di Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh, Zakaria Manap, 60, berdepan tiga pertuduhan rasuah membabitkan kesalahan melindungi pembuangan
bahan terlarang di kawasan terbuka oleh sebuah syarikat tiga tahun lalu.

Dia membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kesemua tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa
mahkamah dihadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah meminta daripada seorang pengarah urusan iaitu
wang tunai sebanyak RM500.

Tindakan itu adalah sebagai dorongan untuk tertuduh tidak melaporkan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah
(MPAG) atas kesalahan membuang bahan terlarang.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, tertuduh didakwa menerima suatu suapan RM500 daripada pekerja
syarikat sama untuk tujuan sama.

Difahamkan, tertuduh yang mempunyai lapan anak dan lima cucu dilantik sebagai Sidang Kampung Rembia selama
dua tahun bermula 2019 sehingga 2021.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada
lima kali ganda jumlah atau nilai suapan.

Kesemua kesalahan itu dilakukan tertuduh di Pusat Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Rembia pada 20 dan 21
Jan 2019.

Prosiding pendakwaan oleh Timbalan Pendakwa SPRM Melaka Nur Syakila Yaacob manakala tertuduh tidak
diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 13 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam selain dia
dibenarkan ikat jamin RM5,000.

(Visited 195 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button