Politik

Negeri ini negeri kami…..

SUDAH lama kita tidak melihat mana-mana negeri di negara ini yang berdiri kukuh seratus peratus di belakang kerajaan dan hari ini kita melihatnya berlaku di Terengganu.

Majoriti rakyat Terengganu mengundi Perikatan Nasional (PN) yang tonggaknya adalah Pas untuk memerintah negeri berkenaan bagi tempoh lima tahun mendatang.

Tetapi pastinya Terengganu tidak akan bersikap negeri ini, negeri kami, ikut suka kamilah nak buat apa, hanya kerana semata-mata negeri berkenaan tidak mempunyai pembangkang langsung.

Namun jelas sekali Terengganu akan menjadi negeri paling tenteram sidang dewan undangan negerinya kerana tidak perlu berbalah dengan pembangkang.

Sementara itu di Selangor situasi akan berubah sepenuhnya apabila PN berjaya memenangi 22 kerusi dan sekaligus menafikan dua pertiga kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang bergabung dengan Barisan Nasional (BN).

Lebih hebat lagi apabila Datuk Seri Azmin Ali yang juga bekas menteri besar Selangor sudah pasti akan mengetuai barisan pembangkang di Selangor.

Keseluruhannya keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), mengesahkan PN menang 146 kerusi berbanding Pakatan Harapan (80 kerusi) dan Barisan Nasional (19 kerusi).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bilangan kemenangan tersebut adalah bersamaan 60 peratus dalam PRN enam negeri – Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Pulau Pinang, memandangkan PN bertanding sebanyak 245 kerusi DUN.

“Ini membuktikan bahawa PN masih dapat memberikan cabaran yang besar terhadap gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN ini,”katanya.

Beliau menyatakan kejayaan PN dalam PRN ini membuktikan sokongan bangsa Melayu yang tinggi yang jelas menunjukkan penolakan terhadap gabungan PH dan BN.

“Ini merupakan referendum besar-besaran yang dilakukan oleh bukan sahaja bangsa Melayu yang merupakan majoriti tetapi juga sebahagian bangsa bukan Melayu,” katanya dalam sidang media Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-15 yang diadakan di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden PAS Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Calon PN Hulu Kelang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; mantan Ketua UMNO, Tan Sri Noh Omar, Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad; Ketua PN Simpang, Renggam Dominic Lau dan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Shahidan Kassim.

Menurut Muhyiddin, kemenangan tersebut membuktikan bahawa UMNO sudah tidak lagi relevan pada masa ini dengan hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi dalam PRN enam negeri ini.

“Ini bermakna Umno kalah 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi terbabit. Ini kerana ramai bangsa Melayu sudah mula menyokong PN. Sudah tentu pihak PH dan BN akan menjadi gerun dengan kemenangan yang diperoleh PN dalam PRN kali ini,” tegasnya.

“Pada masa yang sama, PERIKATAN NASIONAL juga membuat major inroads di Negeri Selangor dengan memenangi 22 kerusi berbanding hanya lima kerusi yang disandang oleh PN sebelum ini,” ujar beliau.

Beliau berkata, kesemua 22 kerusi yang dimenangi PN di Selangor ialah kerusi majoriti Melayu yang membuktikan bahawa gabungan parti itu telah mendapat sokongan besar pengundi- pengundi Melayu di Selangor.

“Kejayaan memenangi 22 kerusi ini juga bermakna PERIKATAN NASIONAL berjaya menafikan majoriti 2/3 kerajaan PH-BN di Selangor, yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat mereka.

“Saya percaya sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi, Perikatan Nasional akan berjaya merampas negeri Selangor,” katanya.

Di Pulau Pinang, pula, tambah Muhyiddin, seperti mana dijangka gelombang sokongan pengundi Melayu di negeri itu membawa kejayaan besar kepada PN dengan memenangi 11 daripada 15 kerusi majoriti Melayu.

“Ini adalah satu tamparan hebat kepada (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim apabila semua kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh dimenangi oleh Perikatan Nasional.

“Kejayaan besar PERIKATAN NASIONAL meraih sokongan pengundi Melayu menandakan bahawa Perikatan Nasional adalah wadah utama politik bangsa Melayu pada masa kini,” katanya.

(Visited 394 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button