Luar Negara

Bekas PM Pakistan dan isteri dipenjara kerana kesalahan rasuah

RAWALPINDI – Mahkamah Pakistan menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun kepada bekas Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan manakala isterinya, Bushra Bibi selama tujuh tahun yang terbabit dalam kes rasuah.

Khan telah ditahan sejak Ogos 2023 dengan 200 kes tetapi parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) mendakwa sabitan kes terbaharu ini bertujuan menyuruh beliau supaya berdiam diri.

“Saya tidak akan membuat apa-apa perjanjian atau mendapatkan pelepasan,” kata Khan kepada pemberita di dalam bilik mahkamah selepas sabitan.

Mahkamah anti rasuah bersidang di penjara berhampiran ibu negara Islamabad di mana Khan ditahan dan mensabitkannya bersama isterinya berhubung sebuah yayasan kebajikan yang ditubuhkan bersama dipanggil Amanah Al-Qadir.

“Pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa Khan disabitkan bersalah,” kata Hakim Nasir Javed Rana, mengumumkan hukuman penjara 14 tahun terhadap Khan dan tujuh tahun terhadap Bibi.

Jurucakapnya, Mashal Yousafzai berkata, Bini yang baru-baru ini dibebaskan dengan ikat jamin telah ditangkap semula di mahkamah selepas sabitannya itu.

Khan menegaskan penahanannya bermotifkan politik dan direka pihak tertentu untuk menghalangnya kembali berkuasa.

Difahamkan hukuman penjara Khan telah ditangguhkan beberapa kali sejak sebulan lalu, tetapi penganalisis berkata tindakan keras dikenakan terhadap bekas pemain kriket Pakistan bertujuan memaksa beliau menerima perjanjian dengan tentera untuk berundur daripada arena politik.

Sejak digulingkan daripada rampasan kuasa pada 2022, Khan telah melancarkan kempen yang tidak pernah berlaku sebelum ini di mana beliau secara terbuka mengkritik jeneral berkuasa negara itu.

Sebelum ini, beliautelah dijatuhkan empat sabitan, dua daripadanya telah dibatalkan manakala hukuman terhadap dua kes lain telah digantung.

Bagaimanapun, beliau masih dipenjarakan atas sebab kes yang belum diselesaikan.

Panel pakar PBB menyatakan bahawa penahanan Khan tidak mempunyai asas undang-undang kukuh dan ia bertujuan untuk melucutkan kelayakannya daripada bertanding dalam jawatan politik. – AFP

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button