Ekonomi

Pengambilalihan Daya Materials sokong perkembangan PGB

PROPEL Global Bhd (PGB) yakin pengambilalihan status penyenaraian Daya Materials Bhd akan menyokong rancangan pengembangan bagi kedua-dua perkhidmatan minyak dan gas (O&G) dan membina perniagaan perkhidmatan teknikalnya.

Pengambilalihan Daya Materials pada 28 April 2022 dijangka mengukuhkan lagi struktur korporat baharu serta rizab tunai hasil daripada pelan penyusunan semula tersebut.

PGB dalam kenyataannya berkata, syarikat akan berdagang di bawah nama saham PGB dan kod saham 0091 mulai 28 April 2022 di Pasaran Utama Bursa Securities Malaysia Berhad.

Penyenaraian PGB berikutan kelulusan oleh para pemegang saham pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 21 Januari 2022 terhadap pelan regularisasi untuk Daya Material yang telah dicadangkan pada 31 Disember 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PGB Angeline Lee berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pemegang saham yang mengekalkan kepercayaan terhadap PGB untuk melaksanakan proses korporat yang akan diakhiri dengan penyenaraian PGB.

“Kami telah melihat penempatan persendirian yang mewakili 41 peratus daripada saham terkumpul kami diambil sepenuhnya oleh pelabur terkemuka dan veteran industri. Hasil pembiayaan daripada penempatan persendirian, Propel Global mempunyai baki tunai yang sihat dan hutang yang minimum kerana nisbah penggearan telah dikurangkan kepada 0.6 kali ganda.” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata PGB sedang giat meneroka peluang dalam industri O&G terutamanya di Sabah dan Sarawak.

“Harga minyak mentah yang tinggi akan menggalakkan lebih banyak pelaburan ke dalam industri, terutamanya daripada syarikat minyak utama. Pembukaan semula sempadan negara akan merangsang aktiviti perniagaan dan oleh itu permintaan untuk minyak dan gas.” tambahnya.

PGB akan terus menumpukan perhatian untuk mengembangkan perniagaan intervensi telaga dan pemulihan paip yang sedia ada dengan melatih jurutera lapangan untuk menyampaikan rumusan teknologi telaga bawah yang lebih luas untuk pelanggan mereka.

“Dalam jangka pertengahan, kami ingin menceburi perniagaan talian wayar kerana ini akan menjadikan kami lebih berdaya saing dalam plug and abandonment serta program penyahtauliahan untuk kemudahan hiliran dan huluan.” ujarnya.

PGB juga mempunyai rancangan jangka pertengahan hingga panjang untuk menerokai pembangunan mampan dan teknologi digital sebagai sebahagian daripada peralihan Kumpulan kepada fokus perniagaan sifar karbon yang merangkumi tenaga boleh diperbaharui dan elektrifikasi.

(Visited 152 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button