Nasional

Rakyat perlu bersedia dengan ‘Beg Kecemasan Khas’ – Raja Muda Perlis

Rakyat dinasihatkan supaya menyediakan ‘Beg Kecemasan Khas’ atau ‘Beg Evakuasi Kecemasan’ di kediaman, kenderaan dan tempat kerja masing-masing dalam menghadapi sebarang bentuk kecemasan sama ada bencana alam, kebakaran dan keadaan cuaca yang buruk, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat meninjau rumah mangsa kebakaran di Kg Datuk Ahmad Musa, Simpang Empat, Mahsuri Mat, 59.

Rakyat di seluruh dunia tidak terlepas daripada ancaman pelbagai bentuk bencana alam yang tidak terduga seperti banjir, ribut, puting beliung, jerebu, tanah runtuh, kemarau, kebakaran hutan, tsunami, gempa bumi, letusan gunung berapi dan sebagainya.

Begitu juga dengan kemalangan yang tidak dapat dielakkan di rumah, di jalan raya mahupun di tempat kerja. Justeru, ‘Beg Kecemasan Khas’ amat berguna dan amat diperlukan di dalam situasi darurat ini.

“Di negara-negara maju misalnya mereka sudah banyak kesedaran berkaitan keperluan memiliki beg seperti ini kepada setiap individu dan kediaman masing-masing. Saya berharap rakyat di negara ini turut memiliki kesedaran tersebut dan menyediakan beg berkenaan yang lengkap, mudah dibawa dan digunakan ketika kecemasan”, titah baginda.

Raja Muda Perlis bertitah bekalan ini harus merangkumi kit pertolongan cemas, alat kelangsungan hidup untuk rumah, kenderaan dan tempat kerja serta bekalan air dan makanan kecemasan untuk sekurang-kurangnya tempoh 72 jam. Bekalan makanan harus disimpan secara mencukupi untuk bertahan sekurang-kurangnya dalam tempoh 3 hari.

Bekalan pertolongan cemas perlu disimpan di dalam kotak peralatan ataupun kotak ais yang tahan lasak, mudah dibawa dan kalis air. Pada masa yang sama, sentiasa periksa kit kecemasan ini dengan kerap dan diganti dengan stok yang baru supaya tarikh sah laku penggunaan masih aktif, jelas baginda.

Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, antara ubat ubatan yang perlu ada termasuklah ubat hidrogen peroksida untuk mencuci dan membasmi kuman pada luka, ubat sapu antibiotik, ‘alcohol swab’ yang dibungkus secara berasingan, tablet aspirin dan bukan aspirin, preskripsi dan sebarang ubat jangka panjang, ubat cirit-birit dan ubat titis mata selain ubatan harian yang diperlukan masing-masing.

Rakyat juga perlu sentiasa mengemaskini bekalan pertolongan cemas yang lain seperti peralatan bebatan dan balutan antaranya pembalut jalur, pembalut Ace, pembalut kain kasa, pita pelekat, buku pertolongan cemas, gunting, thermometer, pisau poket, pin keselamatan dan tisu.

Selain daripada itu, rakyat juga perlu menyediakan kit kelangsungan hidup dan keselamatan di kediaman masing-masing seperti telefon bimbit dan pengecas bateri, radio, kapak, penyodok, pemutar skru, tukul, sepana boleh laras, tali, lilin, mancis kalis air, pemetik api, alat pemadam api serbaguna atau jenis bahan kimia kering.

Bak kata pepatah “malang tidak berbau” dan kecelakaan boleh berlaku di mana-mana sahaja, oleh itu adalah penting bagi semua untuk mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan kelengkapan kecemasan seperti selimut, air botol, pakaian ganti, peranti alat kecemasan, wisel, kit kecemasan kecil, peta dan kompas, lampu suluh, makanan dan air minuman dalam kenderaan serta di tempat kerja.

Sebaiknya, sebilangan bekalan ini disimpan dalam beg kecil atau beg galas supaya mudah dicapai sekiranya perlu menyelamatkan diri bergerak ke tempat lain, tambah baginda.

Tuanku Raja Muda Perlis bertitah, selain itu salinan dokumen penting seperti kad pengenalan dan pasport, sijil kelahiran dan perkahwinan, buku bank dan kad kredit, kad perubatan, dokumen pemilikan harta, serta sijil akademik dan berkaitan juga perlu disediakan agar dapat dijadikan rujukan apabila diperlukan.

Untuk rekod, ‘Beg Kecemasan Khas’ ini di negara-negara maju juga dikenali dengan pelbagai nama termasuklah ‘bug-out bag (BOB), 72-hour kit, battle box, grab bag, go bag, GOOD bag (get out of Dodge) dan personal emergency relocation kit (PERK), atau quick run bag (QRB)’.

Di kesempatan itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan bantuan kecemasan dan kit bantuan segera daripada pihak MAIPs kepada keluarga berkenaan.

Turut hadir mengiringi baginda ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Simpang Empat, Nurulhisham Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Hj. Mohd Nazim berkata, MAIPs akan membuat tindakan susulan mempertimbangkan bantuan di bawah Skim Kediaman MAIPs Peduli yang bersesuaian untuk keluarga mangsa yang kehilangan kediaman yang hangus dijilat api. – SM

(Visited 607 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button