Nasional

Ikan banyak, tetapi nelayan rugi

SUASANA di Pasar Bisik Kuala Muda, Penaga di sini sejak dua minggu lepas ibarat tapak pesta apabila orang ramai membanjiri pasar berkenaan untuk membeli hasil laut terutamanya ikan pelaling dan kembung, yang dijual secara pukal dengan harga murah.

Tinjauan Bernama di pasar berkenaan mendapati fenomena itu berlaku disebabkan oleh lambakan ikan pelaling dan kembung bersaiz kecil yang dijual RM5 untuk dua kilogram sehingga RM25 sebakul.

Hasil tangkapan ikan yang terlalu banyak itu menyebabkan nelayan menjualnya kepada peraih atau orang tengah dengan harga serendah 50 sen sekilogram berbanding kebiasaan pada harga RM12 sekilogram.

Bagaimanapun, para nelayan menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir peraih yang mengambil kesempatan menjual ikan pada harga tinggi dan meraih keuntungan berlipat ganda.

Seorang nelayan Mohd Jefri Jamil, 32, mendakwa aktiviti jual beli ikan yang melibatkan golongan peraih atau orang tengah menyebabkan harga ikan menjadi tidak menentu.

 “Sebelum ini ada dalam kalangan peraih ambil (beli) ikan dengan kami dalam 50 sen hingga 80 sen sekilogram sedangkan mereka jual di pasar dengan kadar yang lebih mahal dari itu… macam mana kami nak balik modal, kos minyak, nak bahagi dengan awak-awak lagi.

“Kalau jual kepada pelanggan tanpa membabitkan peraih atau orang tengah, bolehlah nak dapat dalam RM25 sebakul,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, pada hari kebiasaan, peraih akan membeli ikan daripada nelayan sekitar RM12 hingga RM13 sekilogram.

Seorang lagi nelayan Mohd Hafiz Osman, 33, yang juga nelayan pukat ikan menggesa Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pulau Pinang dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) membantu golongan nelayan dalam menyelesaikan isu harga ikan yang didapati tidak stabil ekoran lambakan yang begitu ketara.

“Sebelum ini dengan hasil tangkapan ikan mencecah satu tan pun susah nak dapat RM50. Namun, disebabkan lambakan ikan ini viral dalam media sosial itu sedikit sebanyak memberi peluang rezeki kepada kami di mana ramai orang luar datang untuk membeli ikan secara terus dari kami,” katanya.

Sementara itu, Pengarah LKIM Pulau Pinang Dr Nik Yahya Ab Rahman menasihatkan para nelayan agar menjual hasil tangkapan ikan secara terus kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan Unit Nelayan bagi mengelakkan harga ikan jatuh di pasaran.

Di Pulau Pinang, PNK mempunyai 13 pasar nelayan yang aktif di mana hasil tangkapan boleh dihantar terus di situ untuk dijual kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan.

“LKIM Pulau Pinang sememangnya menggalakkan nelayan menjual ikan secara terus kepada PNK atau Unit Nelayan yang mempunyai pasar nelayan atau menjalankan pemasaran ikan.

“PNK itu sewajarnya bertindak membeli ikan dengan harga lambakan yang munasabah dan kemudian  memasarkan secara terus ke pasar borong di tempat lain atau mengadakan jualan promosi di pasar tani dan pasar malam di luar Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi.

LKIM juga akan membantu PNK untuk membeli ikan sebagai stok jualan melalui NEKMAT yang akan membantu memasarkannya di ibu negara dan kawasan pedalaman.

“Ikan yang dibawa balik nelayan ini juga perlu dijaga dari segi kualitinya (ais yang cukup) jika tidak, kuantiti yang banyak tanpa pengendalian yang baik juga menjadi penyebab harga (ikan) rendah atau jatuh,” katanya. -BERNAMA

(Visited 536 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button