Nasional

Bekas Pengerusi TH kesal laporan akhbar harian

BEKAS Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjawab tuduhan yang dilemparkan terhadap beliau dalam laporan khas sebuah akhbar harian semalam.

Abdul Azeez kesal laporan berkaitan tuntutan sebuah Suruhanjaya DiRaja (RCI) bagi menyiasat Tabung Haji itu seolah-olah telah menjatuhkan hukuman ke atas dirinya dengan sekadar mengambil fakta sebelah pihak.

“Saya juga berharap pihak akhbar itu sentiasa menjaga etika penulisan dan menarik balik kenyataan menyebut bahawa terdapatnya dapatan siasatan dalaman oleh firma audit Price Water House Coopers (PWC) yang merumuskan bahawa hibah telah dibayar menggunakan wang pendeposit sendiri.

“Kerana ia jelas mengelirukan rakyat dan mengenepikan pengesahan laporan Ketua Audit Negara bahawa hibah dan dividen dibayar secara sah kepada semua pendeposit Tabung Haji,” kata Abdul Azeez.

Abdul Azeez menjelaskan, beliau menyokong sepenuhnya penubuhan RCI dan menawarkan diri menjadi individu pertama disiasat bagi membuktikan kebenaran dan hakikat sebenar yang berlaku di dalam institusi Tabung Haji.

Berikut perjelasan Abdul Azeez berhubung tuduhan-tuduhan di dalam laporan tersebut:

1. Dakwaan bahawa pengurusan TH pada zaman saya telah memberikan hibah dengan menggunakan duit pendeposit adalah amat salah dan menghina institusi tersebut.

Keuntungan operasi TH pada tahun 2017 adalah sebanyak RM3.391 bilion yang mana ia adalah lebih tinggi daripada jumlah hibah yang diagihkan kepada pendeposit iaitu sebanyak RM3.324 bilion. Ini bermakna terdapat baki keuntungan sekitar RM67 juta yang dimasukkan ke dalam Rizab TH.

2. Laporan polis ke atas saya berkenaan penyelewangan dana Yayasan Tabung Haji sebenarnya tidak berkaitan dengan satu sen pun duit pendeposit. Dakwaan bahawa dana Yayasan Tabung Haji digunakan untuk aktiviti mempunyai kecenderungan politik adalah suatu tuduhan jahat dan fitnah yang tentunya telah saya perjelaskan sewaktu siasatan dibuat ke atas saya.

Begitu juga dakwaan berkenaan penjualan TH Indo Plantation pada tahun 2012. Ia berlaku sebelum saya menjadi Pengerusi TH dan urusniaga tersebut sebenarnya memberi keuntungan hampir RM1 bilion kepada institusi tersebut.

3. Dan bagi kedua-dua laporan polis ini, saya tidak pernah dibicarakan walaupun PH telah memerintah selama 22 bulan. Mengulangi semula tuduhan-tuduhan tidak berasas ini adalah cubaan tidak bermoral bagi membunuh peribadi saya

4. Saya juga merasa amat hairan apabila laporan tersebut cuba menggembar gemburkan keuntungan TH pada zaman Pakatan Harapan sebagai bukti kejayaan pelan penstrukturan mereka. Hakikatnya jumlah keuntungan tersebut sebenarnya jauh lebih rendah daripada zaman saya.

Sebagai contohnya, keuntungan bersih sebanyak RM1.6 bilion yang dicapai pada tahun 2018 adalah terlalu sedikit berbanding keuntungan RM3.4 bilion pada tahun terakhir saya sebagai Pengerusi (2017)

5. Sesuatu yang perlu rakyat tahu juga adalah daripada keuntungan RM1.6 bilion tersebut, hanya RM210 juta sahaja merupakan keuntungan nyata. Bakinya adalah keuntungan tidak nyata yang berlaku selepas pemindahan (penjualan) aset.

Dalam bahasa mudahnya, duit itu tak dapat pun lagi! Ini semua ditulis dalam laporan Ketua Audit Negara malahan sukuk yang diterbitkan oleh ujsb juga dinyatakan adalah tanpa jaminan kerajaan.

Kelemahan-kelemahan ini adalah antara punca kenapa pendeposit hanya mampu mendapat pulangan hibah 1.25% pada tahun tersebut iaitu yang terendah dalam sejarah

6. Saya akui sememangnya pada zaman saya, TH telah banyak terlibat dalam pelaburan saham dan komoditi. Kedua-duanya adalah segmen pelaburan yang dianggap berisiko tinggi walaupun berpotensi memberikan pulangan lumayan.

Tetapi saya nak ingatkan bahawa kedua-dua pelaburan ini tidak pernah gagal pada zaman saya kerana kerajaan pada ketika itu sangat menjaga harga komoditi sawit dan prestasi pasaran saham BSKL.

7. Disebabkan itu TH Plantation Berhad iaitu cabang syarikat perladangan TH sentiasa konsisten mencatatkan keuntungan setiap tahun sejak daripada awal penyenaraiannya di BSKL. TH Plantation rugi kali pertama sebanyak RM 678,111,000 pada tahun 2018 iaitu tahun pertama PH memerintah dan masih bergelut untuk mencatat keuntungan disebabkan ketidakcekapan pengurusan lantikan PH.

Malah mereka kini lebih cenderung untuk menjual secara lambak ladang-ladang milik institusi umat islam ini dengan harga yang sangat murah.

8. Begitu juga dengan pasaran saham. Pelaburan TH di BSKL secara umumnya sentiasa mencatat keuntungan disebabkan prestasi memberansangkan pasaran saham negara. Sebab itu, BSKL dianggap sebagai The World Longest Bull Market (Pasaran saham paling menguntungkan di dunia) pada zaman pemerintahan Dato Seri Najib Razak.

Apabila PH memerintah, BSKL dianggap sebagai pasaran saham terburuk dunia oleh Bloomberg pada Mei 2019.-SM

 

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button