Mahkamah

Bekas pengarah AADK Melaka didenda RM3,000

Gara-gara menerima suapan sebanyak RM400, bekas Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka didenda RM3,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.

Tertuduh Mohamad Yusof Kameh, 55, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan pilihan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh mengaku bersalah menerima RM400 tanpa balasan daripada Budyarif Rahmat yang diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi dengannya.

Kesalahan tersebut adalah di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan itu dilakukan di Pejabat AADK Melaka di Aras 2, Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, Melaka Tengah pada 22 Jun 2018.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah meminta Budyarif hadir ke pejabatnya pada Mac 2018 untuk membincangkan kerja-kerja membekal dan mencetak beg kertas agensi itu.

Tertuduh kemudian telah mengarahkan lelaki itu supaya menaikkan sebut harga daripada RM4,230 kepada RM4,630 yang mana perbezaan tambahan RM400 itu adalah bahagian tertuduh untuk kegunaan AADK Melaka dan ia dipersetujui lelaki terbabit.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili peguam Datuk Naran Singh merayu agar anak guamnya diberikan hukuman denda yang lebih rendah iaitu RM2,000 dan tidak dipenjara kerana telah menyesal dan insaf atas perbuatan yang dilakukannya.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira jawatan tinggi tertuduh dan kesalahan serius dilakukan selain kepentingan awam dalam kes terbabit.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, hakim menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau enam bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda tersebut selain bersetuju tiga lagi pertuduhan diambil kira sebagai TIC. – SM

(Visited 184 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button