Mahkamah

Bekas pegawai kanan Pos Malaysia didakwa terima rasuah RM248,000

Seorang bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka di sini hari ini atas 26 pertuduhan menerima
rasuah berjumlah RM248,000 selama setahun mulai 2020.

Tertuduh Hazri Mokhtar, 43, membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan Hazri dituduh secara rasuah menerima untuk dirinya wang melalui pindahan dalam talian melibatkan dua akaun berlainan miliknya daripada syarikat OnxOn Logistik Sdn. Bhd.

Dia didakwa menerima suapan berjumlah RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh Pos Malaysia kepada syarikat terbabit bagi kerja-kerja Outsourcing Linehaul dan Shuttle Services di
Sabah dan Sarawak.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bank Simpanan Nasional di Lot 779 Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Maindi Graha Peladang, Jalan Hang Tuah di sini antara 8 Julai 2020 dan 11 Oktober 2021.

Semua kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu
dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa SPRM, Irwanshah Abdul Samat mencadangkan agar jaminan sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Melaka sebulan sekali sepanjang kes berjalan.

Tertuduh diwakili peguam Mohammad Amir Aizat Abd Rani merayu jaminan tersebut dikurangkan kerana tertuduh telah berhenti kerja dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan RM800
sebulan.

Mahkamah menetapkan jaminan RM35,000 dengan syarat penjamin adalah isteri tertuduh sebagai selain bersetuju dengan semua syarat tambahan yang dicadangkan selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Hakim menetapkan 2 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. – SM

(Visited 334 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button