
Bekas Model Didakwa Sebar Sijil Nikah Palsu Konon Bernikah Dengan TMJ
SEORANG bekas model dan peserta program realiti Dewi Remaja, Persana Avril Sollunda, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan memuat naik sijil nikah palsu kononnya dia telah berkahwin dengan Tengku Mahkota Johor (TMJ).
Wanita berusia 43 tahun itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan menerusi satu video yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya pada 25 Februari lalu.
Persana, yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi di Jalan Petaling, hadir ke mahkamah dalam keadaan bergari selepas waran tangkap dikeluarkan pada 22 Mei lalu kerana gagal menghadirkan diri dalam prosiding sebelum ini.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan aplikasi TikTok secara tidak wajar dengan menyebarkan kandungan bersifat palsu dan mengganggu, yang boleh menimbulkan kegusaran awam, sekali gus melanggar Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum satu tahun atau kedua-duanya sekali, selain denda tambahan RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khairunnisak Hassni, yang mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000, namun mahkamah akhirnya membenarkan Persana diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
Hakim juga memerintahkan tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran dan melantik peguam sebelum tarikh sebutan semula kes yang ditetapkan pada 17 Julai 2025.
Difahamkan, kes ini menarik perhatian umum susulan dakwaan melibatkan nama kerabat diraja serta latar belakang tertuduh yang pernah terlibat dalam beberapa insiden kontroversi sebelum ini.
kreadit: Utusan