Mahkamah

Bekas koperal polis dipenjara 14 tahun, denda RM70,000

Mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah

SEORANG bekas koperal polis dihukum penjara 14 tahun dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan, tujuh tahun lalu.

Shamsul Shahrul Samsudin, 38, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada masa kejadian, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Murtazadi Amran.

Tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM7,500 daripada Sharifah Aziz sebagai dorongan untuk melepas dan menurunkan seksyen pertuduhan daripada Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kepada Seksyen 12 ADB 1952 terhadap suami Sharifah, Azhar Noordin pada 14 Jun 2013, di hadapan Kedai Longwan, Mergong , Alor Setar.

Bagi pertuduhan kedua, Shamsul Shahrul dituduh menerima suapan sebanyak RM5,500 sebagai dorongan untuk melakukan perkara sama, di Cash Deposit Machine (CDM) nombor 5, Bank Rakyat Cawangan Mergong, No. 7 dan 8, Tuanku Haminah Business Centre, Mergong pada pukul 1.03 tengah hari, 26 Julai 2013.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, bagi setiap pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Hakim Murtazadi menjatuhkan hukuman lapan tahun penjara dan denda RM40,000 atau setahun penjara jika gagal membayar denda.

Manakala bagi tuduhan kedua, Shamsul Shahrul dikenakan hukuman enam tahun penjara dan denda RM30,000 atau atau jika gagal akan dipenjara setahun lagi. Kedua-dua hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak bermula hari ini. – BERNAMA -SM

(Visited 119 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button