fbpx
Rencana

Bekas jurufoto Utusan terus kelangsungan hidup

Oleh Mazlan Samion

SEJAK syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua negara ini, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menamatkan operasi pada 9 Okt lalu, agaknya bagaimana nasib lebih 800 pekerja syarikat akhbar itu.

Mungkin ramai yang bersimpati tetapi “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.

Begitulah beban yang ditanggung rata-rata bekas pekerja akhbar Utusan Malaysia termasuk editor, wartawan, pereka grafik dan jurufoto yang dalam sekelip mata hilang mata pencarian.

Bernama menemu bual beberapa sahabat bekas jurufoto pekerja syarikat akhbar itu, dan mendapati di sebalik keperitan yang dilalui, mereka tetap positif meneruskan kelangsungan hidup, menjalani fasa baharu kehidupan demi untuk menyara keluarga.



Mohd Najib Mohd Nor di studio ‘Sarang Suara’ miliknya. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi Mohd Najib Mohd Nor, 39, yang berkhidmat selama 15 tahun di syarikat akhbar itu, rutin hariannya kini sudah jauh berbeza.

Sebelum ini, kebiasaannya pada setiap pagi seawal pukul 6 pagi, beliau akan bergegas ke pejabat untuk memenuhi tuntutan tugas yang diarahkan editor syarikat akhbar berkenaan.

Namun, selepas diberhentikan kerja pada Oktober lepas, beliau sendiri yang terpaksa menentukan rutin hariannya.

Tiada lagi arahan, tiada lagi kekalutan dunia kewartawaan, malah kini semuanya atas bahu sendiri sama ada mahu bekerja atau pun tidak.

“Sewaktu diberhentikan, saya dan rakan-rakan buntu kerana mengenangkan nasib anak-anak. Bagaimana untuk menyara keluarga. Saya murung dan setelah seminggu baru lsaya boleh terima hakikat dan menerima ujian daripada Allah SWT ini,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad menamatkan operasinya berkuat kuasa 9 Okt 2019 selepas menghadapi masalah kewangan yang meruncing. Semua kakitangan diberhentikan dengan serta-merta, malah diarah mengosongkan pejabat pada hari yang sama.

Krisis kewangan dihadapi syarikat akhbar yang turut menerbitkan akhbar tabloid Kosmo! itu bukanlah satu perkara baharu malah dilaporkan sudah berlarutan sejak beberapa bulan sebelum itu.

 

JURUFOTO BANGKIT


Mohd Najib Mohd Nor (tengah) bergambar bersama rakan-rakannya di studionya ‘Sarang Suara’ yang terletak di Seri Kembangan. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tanpa menoleh ke belakang, Mohd Najib, bapa kepada seorang anak perempuan berusia 13 tahun nekad menjadikan hobi dan minatnya dalam bidang muzik sebagai sumber pendapatan utama. Beliau kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap studio muzik miliknya, Sarang Suara di Seri Kembangan, Selangor.

“Saya memulakan perniagaan Sarang Suara Studio ini sejak tiga tahun laluMulanya secara kecil-kecilan dan sekadar hobi. Bagaimanapun ada hikmah di sebalik tiada kerja tetap kerana kini saya dapat mengusahakan perniagaan ini secara sepenuh masa,”

“Alhamdulillah rezeki saya semakin bertambah,” katanya bersyukur dengan pendapatan baharunya itu.

Studio Sarang Suara yang lengkap dengan peralatan muzik dan sistem audio canggih ini bukan sahaja membolehkan peminat muzik berlatih dan bermain alat muzik, tetapi turut menyediakan kelengkapan sewaan untuk membuat suntingan, perkhidmatan audio, studio rakaman dan rakaman suara latar.


Nooradzrene Mohammed Noor menyediakan menu istimewa di gerainya ‘Cheras Chowrasta’ yang terletak di Jalan Peel. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sementara itu, seorang lagi bekas jurufoto syarikat itu, Nooradzrene Mohammed Noor, 38, yang mengambil Skim Pemisahan Sukarela (VSS) pada penghujung 2018 berjaya mengusahakan perkhidmatan katering dan penghantaran makanan.

Nooradzrene yang lebih dikenali sebagai ‘’Bob Utusan’’ menceburi perniagaan masakan dan makanan di bawah nama “”Cheras Chowrasta” dan memulakan perniagaan dengan modal sendiri sebanyak RM1,800.

Gerai jualannya di Jalan Peel dekat sini yang beroperasi setiap hari dari pukul 11 pagi hingga 9 malam, menyediakan menu popular dari Pulau Mutiara antaranya mi rebus mamak Pulau Pinang, cucur udang, Penang, char kuey teow, bihun sup dan sirap sarbat.

Setelah hampir setahun menjalankan perniagaan, Nooradzrene yang mempunyai tiga orang anak ini boleh berbangga kerana kerjaya baharunya itu sudah berkembang dan setiap hari pasti ada tempahan makanan yang diterimanya di sekitar ibu kota.

BACA: Penutupan Utusan petanda awal matinya kebebasan media di Malaysia

Menurut beliau, meskipun bekas majikannya tidak dapat melunaskan pembayaran pampasan, namun beliau tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk gagal malah bercita-cita untuk meluaskan pasaran perniagaannya melalui platform media sosial.

“Sebagai orang Islam, kita perlu terima ketentuan Allah SWT. Saya sentiasa yakin, tawakal dan berusaha. Dari situ saya mendapat semangat baharu dengan mempelbagaikan menu baharu sekaligus dapat memperbesarkan gerai saya ini,” katanya yang mempunyai dua orang pekerja tetap untuk membantu perniagaannya.

 

MENCARI REZEKI DENGAN BERTANI


Berbudi kepada tanah. –fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Lain pula cerita bagi Mohd Zaki Amiruddin, 41, yang memilih bidang pertanian sebagai punca rezekinya.

Walaupun tinggal di ibu kota, beliau kini berjinak-jinak mengusahakan tanaman sayur-sayuran yang diyakini mampu memberi pendapatan lumayan.

Bekas jurufoto yang berkhidmat selama 14 tahun itu mengambil VSS berusaha untuk merealisasikan impiannya menjadi petani moden dan mengusahakan tanaman terung, timun, cili dan bayam.

Mohd Zaki yang mengusahakan tanaman sayur berskala kecil melalui kaedah fertigasi, memanfaatkan tanah lapang berhampiran rumah ibunya di Salak Selatan di sini.

“Walaupun tanaman saya usahakan ini berskala kecil, saya anggap ia satu titik permulaan untuk saya belajar dan memahami masalah berkaitan kawalan penyakit, racun serangga dan baja. Insya-Allah ilmu itu akan digunakan bila saya mengusahakan pertaniaan berskala besar nanti,” katanya.

Mohd Zaki mempunyai tanah seluas kira-kira 1.2 hektar di Rantau, Negeri Sembilan namun terpaksa menangguhkan projek pertaniannya itu kerana kekurangan modal.

Dalam masa sama, Mohd Zaki masih meneruskan minat dalam bidang fotografi dengan membuat kerja sambilan membekalkan perkhidmatan fotografi dan videografi untuk acara rasmi dan majlis perkahwinan.

Ketiga-tiga Mohd Najib, Nooradzrene dan Mohd Zaki adalah contoh pekerja Utusan Melayu yang bangkit dan tidak pernah kenal putus asa, sebaliknya gigih meneruskan kelangsungan hidup, menceburi bidang baharu sebagai sumber pendapatan. – BERNAMA

Show More

Related Articles

Back to top button