MahkamahNasionalNegeri

Bekas guru tuisyen berdepan pertuduhan pengubahan wang haram

SEORANG bekas guru tuisyen dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM12,000.

Jamaliah Ahmad, 62, melafazkan “tak salah” dan menggelengkan kepalanya menandakan dia tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Dia didakwa menerima RM12,000, dipercayai hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang di lobi sebuah hotel di Jalan Pulau Pinang kira-kira pukul 7 malam pada 15 Disember 2021.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Kesalahan di bawah AMLATFPUAA itu membawa hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali ganda jumlah yang diperoleh daripada pengubahan wang haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Hariss Ong Jeffery Ong memberitahu mahkamah bahawa kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Md Yusuf Md Idris yang mewakili Jamaliah mengesahkan perkara itu ketika ditanya.

Mazdi kemudian menetapkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Jan tahun depan untuk sebutan.

Beliau turut mengenakan tiga syarat tambahan kepada Jamaliah iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan sehingga kesnya selesai, menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi dalam kes itu.

“Sekiranya anda gagal mematuhi mana-mana syarat, jaminan anda akan dibatalkan,” katanya.

Di luar bilik mahkamah, Md Yusuf memberitahu pemberita bahawa anak guamnya telah dibebaskan daripada pertuduhan mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 pada 17 Nov 2022.

“Anak guam saya didakwa atas pertuduhan memperdagangkan bayi dan dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah bulan lepas.

“Kini, dia berdepan pertuduhan menerima wang untuk aktiviti itu.

“Memandangkan dia telah dibebaskan dan dilepaskan daripada kesalahan predikat (pertuduhan utama), ini akan menjadi asas pembelaan kami,” katanya. – SM

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button