Ekonomi

Bank Rakyat perkenal kemudahan pembukaan Akaun Simpanan-i di platform BRICK

Pacu agenda kelestarian

BANK RAKYAT komited memacu pembangunan perkhidmatan kewangan berteraskan kelestarian dengan memanfaatkan keupayaan digital dalam operasi perniagaannya menerusi pengenalan perkhidmatan pembukaan Akaun Simpanan-i tanpa kertas melalui platform BRICK (Bank Rakyat Quick).

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman dalam satu kenyataan berkata, perkhidmatan pembukaan Akaun Simpanan-i tanpa kertas ini merupakan inisiatif transformasi digital Bank Rakyat bagi memperluaskan akses perbankan untuk pelanggan sekali gus menggerakkan amalan perniagaan ke arah matlamat kelestarian.

“Inisiatif tanpa kertas ini yang mana seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Digitalisasi dan Kelestarian Bank Rakyat 2025 menunjukkan komitmen berterusan Bank Rakyat dalam membangunkan persekitaran perbankan yang lebih inklusif melalui produk kewangannya yang inovatif bertepatan dengan nilai daya cipta Madani serta mesra alam bagi memudahkan peralihan ke arah masa depan yang lebih hijau.

“Ia juga sebagai usaha Bank Rakyat bagi memupuk sikap kebertanggungjawaban masyarakat dalam memelihara alam sekitar menerusi penggunaan sumber secara bertanggungjawab dan tidak melakukan pembaziran yang berterusan bagi merealisasikan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa perkhidmatan pembukaan Akaun Simpanan-i tanpa kertas ini menjadikan tawaran produk berkenaan lebih mudah diakses dan selamat seiring dengan gaya hidup serta keperluan pelanggan masa kini.

Menerusi kemudahan baharu ini, pelanggan kini boleh mengemukakan permohonan untuk membuka Akaun Simpanan-i menerusi proses dalam talian dengan hanya mengimbas kod QR BRICK atau layari https://brick.bankrakyat.com.my/.

“Inisiatif ini juga membolehkan pelanggan memuat naik dokumen dan menghantar permohonan secara dalam talian sepenuhnya. Setelah proses permohonan lengkap, pelanggan perlu hadir ke cawangan Bank Rakyat bagi tujuan pengesahan identiti menggunakan kemudahan peranti mudah alih yang disediakan di cawangan. Kemudahan ini disediakan di 148 cawangan Bank Rakyat di seluruh negara bagi menawarkan pengalaman perbankan yang kondusif untuk pelanggan,” ujar Mohammad Hanis.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman

Selain itu, Bank berkenaan turut mengumumkan rangkaian kad kredit mesra alam pertamanya iaitu Kad Kredit-i Muslimah Bank Rakyat yang telah mula ditawarkan pada September 2023.

“Kad kredit boleh terbiodegradasi ini diperbuat daripada bahan kitar semula selain tahan lasak dan akan terbiodegradasikan (reput) sepenuhnya dalam masa sembilan ke 12 bulan selepas tarikh luput tanpa meninggalkan sisa toksik yang membahayakan alam sekitar.

“Ciri baharu ini juga tidak menjejaskan kualiti dan ciri kad sedia ada termasuklah penggunaan bagi pembayaran tanpa sentuh. Pemegang Kad Kredit-i Muslimah sedia ada juga digalakkan untuk mendapatkan kad mesra alam ini sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kemampanan Bank Rakyat,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh layari laman web rasmi Bank Rakyat di www.bankrakyat.com.my, hubungi Pusat Kad Bank Rakyat di talian 03-2693 6880 dan Pusat Panggilan di talian 1300 80 5454 atau kunjungi cawangan Bank Rakyat yang berhampiran. – SM

Artikel berkaitan > Tiga pelajar cemerlang terima dermasiswa pendidikan Bank Rakyat

 

(Visited 30 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button