Nasional

Bekalan telur pulih hujung bulan ini – KPDNHEP

Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan telur di seluruh negara yang mengalami kekurangan antara lima hingga 10 peratus dijangka pulih menjelang hujung bulan ini.

Timbalan Ketua Setiausahanya, Datuk Roziah Abudin berkata, kekurangan bekalan telur di pasaran berpunca daripada 21 ladang berskala kecil terpaksa ditutup kerana kurang efisen manakala pengeluar bagi ladang besar seperti Huat Lai di Merlimau Melaka tidak dapat meningkatkan
pengeluaran.

Justeru menurutnya, usaha yang dilakukan oleh KPDNHEP ialah membantu memberi modal kepada syarikat-syarikat besar bagi mereka meningkatkan pengeluaran bagi menampung kekurangan bekalan telur di pasaran.

“Usaha kerajaan menaikkan subsidi daripada tiga sen kepada lapan sen bagi telur gred A, B dan C juga menjadi salah satu faktor mendorong syarikat-syarikat besar dapat meningkatkan pengeluaran untuk pasaran tempatan.

“Bekalan dijangka pulih dalam masa terdekat ini kerana jaminan yang diberikan oleh syarikat Huat Lai untuk meningkatkan pengeluaran manakala dari segi harga pula ia kekal kerana masih dikawal.

“Mungkin bekalan itu ada tetapi tidak mencukupi sebagaimana tempahan dibuat kerana data kita menunjukkan pengurangan daripada lima hingga 10 peratus daripada tempahan dibuat,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di Pasaraya Mydin, Ayer Keroh di sini hari ini

Majlis pelancaran telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem. Hadir sama Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar.

Mengulas lanjut Roziah berkata, pihaknya menerima banyak aduan di seluruh negara mengenai bekalan telur yang berkurangan di peringkat runcit berdasarkan tinjauan di lapangan sebelum ini.

Menurutnya, permintaan meningkat mendadak daripada industri, peniaga dan sebagainya sejak semua sektor ekonomi dibuka sepenuh selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

“KPDNHEP akan memantau penggunaan telur di peringkat industri dan peniaga kedai makan memandangkan penggunaan bagi isi rumah pula tidak meningkat,” ujarnya. – SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button