Nasional

Bekalan ayam cukup, tak perlu keluar permit import

Bekalan ayam bagi pasaran tempatan dijamin mencukupi dan tiada keperluan untuk kerajaan mengeluarkan permit import (AP) bagi barangan berkenaan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata pihaknya kerap mengadakan sesi libat urus dengan penternak ayam di seluruh negara bagi memastikan bekalan ayam dalam negara mencukupi.

“Kenyataan yang dibuat oleh timbalan saya Datuk Rosol Wahid adalah sekiranya ada keperluan kerajaan perlu mengeluarkan AP untuk ayam diimport untuk menampung permintaan tempatan, tetapi buat masa ini ia tidak perlu,” katanya selepas merasmikan program Riang Riuh Raya dan Malaysian Marketplace di sebuah pusat beli belah, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin yang mempersoalkan tindakan kementeriannya yang mahu mengeluarkan AP ketika masih berbaki tiga minggu sebelum Aidilfitri.

Turut hadir Rosol, dan Penasihat Kuala Lumpur Pavilion Sdn Bhd Datuk Abdul Wahab Khalil.


Dalam pada itu Nanta turut menafikan pihaknya lambat dalam menangani isu kenaikan harga ayam.

Sebaliknya, beliau berkata mengambil langkah yang holistik dalam menyelesaikan masalah berkenaan agar semua pihak, bukan sahaja pengguna, malah peniaga dan penternak tidak terjejas.

“Kita perlu faham, peniaga ayam yang berniaga di pasar adalah peniaga kecil dan mereka membeli ayam dengan harga yang tinggi daripada pengedar atau penternak, oleh itu mereka perlu meningkatkan sedikit harga.

“Tetapi mulai esok, dengan penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, harga ayam telah ditetapkan sebanyak RM7.90 sekilogram (kg), ia masih lagi di bawah RM8,” katanya.

Mengulas mengenai Kempen Beli Barangan Malaysia, Nanta berkata, pihaknya menyasarkan jumlah jualan pada tahun ini sebanyak RM120 bilion.

Beliau yakin angka berkenaan dapat dicapai berdasarkan prestasi pada tahun lepas yang mana jualan barangan buatan Malaysia direkodkan sebanyak RM130 bilion berbanding sasaran sebanyak RM 100 bilion. – BERNAMA

(Visited 17 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button