Politik

Zahid Hamidi anggap kenyataan Mohd. Amar tidak intelektual

 

Wartawan Suara Merdeka

TANGKAK 10 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan kenyataan
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bahawa Singapura maju kerana tiada UMNO sebagai kebudak-
budakan.

Malah Presiden UMNO itu juga menyelar kenyataan itu sebagai tidak berintelektual.

Menurutnya, Mohd. Amar mungkin terlupa UMNO pernah bertapak di Singapura melalui Persatuan Kebangsaan
Melayu Singapura (PKMS).

“Saya fikir beliau (Mohd. Amar) gunalah alasan yang lebih intelektual. Kalau macam tu Amerika Syarikat
(AS) maju kerana tidak ada UMNO juga? atau Perancis maju kerana tidak ada UMNO? Jadi Kelantan maju kerana
tidak ada UMNO?

“Kalau kita hendak memperkecilkan lawan atau rakan politik lain
carilah alasan yang lebih relevan dan
intelektual.

“Saya fikir alasan kebudak-budakan ini kita tak perlu layan, biar alasan intelektual. Saya anggap perkara
itu perkara yang terlalu remeh untuk saya berikan respon,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Ramah Mesra Bersama Presiden UMNO diPusat Daerah Mengundi (PDM) Sawah Ring, Bukit Gambir di sini hari ini.

Yang turut hadir calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gambir, Sahrihan Jani dan Ketua UMNO Bahagian
Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Mohd. Amar pada ceramah penerangan Perikatan Nasional (PN) sempena PRN
Johor di DUN Benut baru-baru ini.

Sementara itu ditanya mengenai peluang BN dalam PRN Johor berbaki satu hari sebelum hari mengundi Sabtu
ini beliau berkata, atas kertas BN sudah ada majoriti mudah iaitu 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
ketika tempoh berkempen tinggal sehari.

Katanya, sasaran 29 kerusi itu adalah realistik namun usaha di saat-saat akhir berbaki sehari amat penting
untuk menggerakkan jentera parti bagi menambah jumlah kerusi bagi mencapai majoriti dua pertiga.

“Saya tidak mahu mendahului daripada penganalisis politik apa lagi yang akan Allah berikan kepada kita.
Tetapi insyallah kita akan `cross the line’ untuk memerlukan jumlah kerusi lebih daripada majoriti mudah
iaitu 29 kerusi.

“Selebihnya, kita akan berusaha dan berdoa agar usaha kita akan Allah makbulkan. Kita ada jenama dan
produk iaitu BN dan calon yang diketengahkan,” ujarnya.

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button