Negeri

Bekalan air: ADUN Selangor syak unsur khianat

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor Najwan Halimi mengesyaki terdapat unsur sabotaj dan perbuatan khianat terhadap bekalan air di Selangor.

Ini berikutan bekalan air sering di negeri termaju di Malaysia itu terganggu akibat dicemari.

Dalam bebenang di Twitter, Najwan yang merupakan ADUN Kota Anggerik berkata unsur sabotaj tidak boleh diketepikan memandangkan kejadian berlaku pada saat rakyat sedang melaksanakan Perintan Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Ya, timing ketika rakyat sedang jalani PKPB. Bekalan air baru pulih selepas insiden paip pecah, tiba-tiba pagi ini sumber air dicemar sekali lagi.

“Kekerapan berlakunya insiden henti tugas tidak berjadual mutakhir ini perlu disiasat dan tindakan tegas wajib diambil oleh Kerajaan Negeri.

“Apakah wujud unsur sabotaj dan khianat hingga acapkali sumber air Selangor dicemar oleh pihak tidak ertanggungjawab?” tanya beliau.

Syarikat Air Selangor dalam satu kenyataan berkata, Logi Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang dihentikan tugas hari ini.

Ini kerana syarikat itu mengesan pencemaran di Sungai Selangor.

Henti tugas tersebut akan menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual terhadap 1,196,457 akaun.

Gangguan bekalan air berkenaan meliputi kawasan Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Sebelum ini, bekalan air di 59 kawasan di Wilayah Klang/Shah Alam dan Kuala Langat mengalami gangguan sejak tiga hari lalu.

Ia susulan kejadian paip pecah berikutan tambakan tanah di atas paip oleh pihak ketiga hingga menyebabkan tekanan berlebihan pada paip di kawasan pembinaan Worldwide Seksyen U11, Shah Alam.

Pada 4 Oktober lalu pencemaran Sungai Semenyih menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Insiden itu berlaku hanya selepas sebulan penduduk Lembah Kelang terputus bekalan air akibat pencemaran sumber air di Sungai Gong.

Kejadian awal September itu menyebabkan hampir 1.5 penduduk Lembah Kelang mengalami gangguan bekalan air kira-kira seminggu.-SM

 

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button