BeritaNasionalPendidikan

Beban guru kurang: KPM akan perkenal sistem rekod markah berpusat

MENTERI Kanan Pendidikan, Dr. Radzi Jidin berkata pembangunan sistem pelaporan berpusat bagi tujuan merekod markah pentaksiran pelajar sekolah merupakan antara elemen transformasi pendidikan yang bakal diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM.

Selain mengurangkan beban guru bagi mengelak tugas merekod markah berulang kali, sistem itu turut bertujuan meningkatkan kecekapan sistem KPM agar relevan dengan transformasi digital pada masa ini.

Beliau berkata, ketika ini, guru itu dikehendaki menyalurkan rekod markah pelajar kepada pelbagai pihak termasuk KPM dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Dengan adanya sistem pelaporan berpusat ini, pihak lain yang mahukan rekod markah boleh ‘mengekstrak’ data daripadanya.

“Begitu juga dengan pembinaan jadual waktu sekolah, difahamkan masih ada sekolah yang buat secara manual.


“Jadi KPM akan mewujudkan satu sistem khusus bagi membolehkan pihak sekolah membina jadual waktu sekolah mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Showcase Transformasi Pendidikan yang berlangsung sejak 12 Ogos sehingga hari ini di pusat beli-belah Alamanda, di sini.

Menurut Radzi, KPM komited dalam menjadikan ekosistem pendidikan negara sebagai yang terbaik selain memberikan fokus utama kepada kemenjadian murid secara menyeluruh tanpa bergantung kepada pencapaian akademik semata-mata.

“Contohnya, baru-baru ini bekerjasama dengan FGV Holdings Berhad dengan membawa pelajar mendekati flora dan fauna agar mereka faham tentang perubahan iklim dan sebagainya,” katanya dan menambah transformasi pendidikan kementerian meliputi kerjasama rentas agensi kerajaan dan swasta.

Bagi mendekati masyarakat terutamanya golongan ibu bapa agar mereka faham tentang transformasi pendidikan dan dasar KPM, Radzi berkata KPM juga akan mengadakan Hari Terbuka PPD di 142 lokasi seluruh negara pada 26 dan 27 Ogos depan.

Radzi berkata, KPM menerusi sesi perbincangan dan libat urus dengan lebih 20,000 orang termasuk pemimpin masyarakat sehingga kini turut menerima maklum balas positif berkaitan transformasi pendidikan yang giat diaplikasikan.

Antara inisiatif KPM mengorak langkah ke depan transformasi pendidikan meliputi pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) bagi memastikan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dapat dilaksanakan dengan berkesan selain menjaga kebajikan guru dengan memudahcara urusan permohonan pertukaran guru.

Showcase Transformasi Pendidikan merupakan satu daripada pengisian KPM di bawah program ‘Bersama Semarakkan Transformasi Pendidikan’ yang diadakan bermula 1 Ogos sehingga 30 Sept depan di seluruh negara.

Ia antara lain memaparkan inovasi dan pencapaian murid dan guru, perkembangan pendidikan digital dan aplikasi sistem yang memudahkan pengurusan pendidikan. – SM

 

(Visited 71 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button