fbpx
Nasional

Swap Chan, Kolej Antarabangsa Inovatif tawar Diploma Teknologi Blockchain untuk lepasan SPM

KOLEJ Antarabangsa Inovatif (KAI) yang beribu pejabat di Petaling Jaya, Selangor menjadi institusi pengajian tinggi swasta pertama di Malaysia yang bakal menawarkan kursus berkaitan blockchain.

Program Diploma Teknologi Blockchain bakal ditawarkan kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia bermula sesi Mei 2020 dengan mengunjurkan seramai 60 pelajar pada pengambilan pertama.

Ini merupakan langkah awal kolej itu untuk melahirkan lebih ramai pakar dan tenaga kerja tempatan dalam bidang mata wang digital yang kini menjadi fenomena di seluruh dunia.

Usaha ini dibangunkan bersama syarikat perintis teknologi blockchain yang merupakan sebuah syarikat Swap Chan PTE LTD berpangkalan di Singapura yang telah membina empayarnya sendiri dalam industri berkenaan sejak tiga tahun.


Pengasasnya, Datuk Muhd. Azrainuddin Zainal berkata, bagi merealisasikan projek sulung tersebut, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara dua entiti berkenaan di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

Ia diadakan seiring dengan Simposium Blockchain Antarabangsa 2.0 yang menghimpunkan pakar industri antarabangsa dalam blockchain bertujuan untuk berkongsi pandangan mengenai hala tuju industri berkenaan menjelang tahun 2020.

Turut hadir ialah Ketua Eksekutif Kolej Antarabangsa Inovatif, Shahawati Umar.

Mengulas lanjut, Muhd. Azrainuddin berkata, MoU itu telah melakar sejarah baharu dalam industri blockchain negara dan ini menunjukkan ia semakin diterima oleh masyarakat serta menyedari kepentingannya untuk berdepan dengan perubahan semasa.

“Kami akan berkongsi dengan pihak kolej berhubung kepakaran dan pengalaman dalam industri ini bagi membangunkan modul berkaitan subjek khusus mengenai blockchain.

“Masyarakat negara ini tidak boleh memandang sepi fenomena industri blockchain dan kripto berkembang pantas di seluruh dunia sebaliknya merebut peluang untuk menjadi pakar dalam industri ini,” katanya selepas memeterai MoU tersebut.

Lebih menarik dalam kerjasama tersebut, mata wang digital iaitu DDKoin yang diasaskan oleh Swap Chan telah diiktiraf sebagai mode pembayaran bagi program yang ditawarkan di Kolej Antarabangsa Inovatif.

Swap Chan telah memperkenalkan mata wang digital baharu dikenali sebagai DDK pada awal tahun lalu iaitu mata wang kripto (cryptocurrency) yang dibangunkan hasil cetusan idea dan teknologi rakyat tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai kerjasama tersebut, Shahawati menjelaskan, tempoh pengajian bagi jurusan tersebut ialah selama dua tahun setengah dengan menyasarkan kira-kira 60 peratus terdiri daripada pelajar tempatan dan bakinya daripada pelajar luar negara.

Beliau optimis terhadap kerjaya dan masa depan bagi graduan jurusan berkenaan kerana industri blockchain diguna secara meluas di seluruh negara dan kepesatan mata wang digital telah digunapakai di semua peringkat syarikat korporat dan institusi kewangan tempatan dan global.

“Malaysia tidak boleh lari untuk berdepan dengan Revolusi Industri 4.0. dan kami mahu melahirkan graduan yang memenuhi perkembangan industri,” katanya.

Shahawati menambah, pihaknya perlu mengakui bidang pendidikan agak lambat berbanding pihak industri dalam usaha mempelori sesuatu bidang baharu di negara.

Ini kerana katanya, institusi pengajian tinggi perlu melakukan kajian dan penyelidikan dahulu yang mengambil masa hingga dua ke tiga tahun.

“Untuk peneraju dalam melahirkan pakar industri dan akademik membabitkan teknologi blockchain, kerjasama dengan pihak industri akan mempercepatkan usaha memenuhi pasaran tersebut,” ujarnya.- SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button