Rencah Hidup

Bayi meninggal ketika Abby Abadi, suami berada di Mekah

KUALA LUMPUR – Bayi pasangan penyanyi dan pelakon Abby Abadi, Muhmammad Danial Firman, menghembuskan nafas terakhir malam tadi selepas 70 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU), Hospital Sungai Buloh.

Menerusi akaun Instagram Abby yang kini berada Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrah bersama suami dan keluarganya sejak dua hari lalu memaklumkan perkara itu pada pukul 2 pagi tadi.

Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 41, berkongsi wajah arwah anaknya menerusi sebuah paparan video turut memohon maaf kerana tidak berada di sisi Muhammad Danial Firman Faizal Muhammad Faizal.

“Tarik mama abah masuk syurga ya sayang. Muhammad Danial Firman telah pergi meninggalkan kami.

“Ini video terakhir sebelum kami tinggalkan dia untuk menunaikan umrah pada Khamis lalu. Maafkan mama dan abah, sayang,” tulis Abby.

Abby memaklumkan memaklumkan, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4, Lembah Keramat, pagi ini.

Suami Abby, Faizal Zakaria juga melahirkan rasa terkilannya kerana tidak dapat menatap wajah bayi mereka buat kali terakhir.

Faizal menerusi hantaran di Instagram memohon maaf kepada bayi mereka kerana tiada di sisi pada saat akhir.

“Hari kedua abah dan mama di Makkah, Baby D pergi meninggalkan kami. Sedih sangat sebab abah tidak dapat jumpa Baby D untuk kali terakhir.

“Abah tidak dapat uruskan Baby D. Maafkan abah sayang sebab tidak dapat menguruskan baby untuk kali terakhir. Abah doakan moga Allah temukan kita di syurga nanti,” tulisnya.

Muhammad Danial Firman dilahirkan pada 27 September lalu dengan berat 535 gram.

Allahyarham dilahirkan secara pembedahan ketika kandungan Abby mencecah lima bulan selepas mengalami turun darah berikutan tekanan darah tinggi.

Abby dan Faizal bernikah pada 14 Ogos 2015 mempunyai dua anak angkat iaitu Muhammad Daiyan Fayyan dan Maisara Dayana Fathia yang berusia setahun lebih.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Abby dianugerahkan tiga anak iaitu Mohamed Danish Hakim 16, Marissa Dania Hakim, 14, dan Maria Danisah Hakim, 11.-SM

 

 

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button