BeritaNasional

Bayaran proses UPUOnline ditanggung KPT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline atau unik ID kepada semua pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi, Matrikulasi dan Diploma atau setaraf bagi sesi akademik 2022/2023.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa pandemik Covid-19 yang masih belum berakhir.

Beliau berkata, tempoh permohonan akan bermula esok hingga 31 Mac ini.

“Permohonan kemasukan akan dibuka mulai 4 Febuari sehingga 31 Mac 2022. Oleh itu, pemohon boleh melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

“Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin unik ID Bank Simpanan Nasional untuk membuat permohonan UPUOnline,” katanya.

Beliau turut berkata KPT berharap keputusan itu dapat meringankan beban dan melancarkan urusan pemohonan untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah.

Keputusan KPT itu kali kedua dilaksanakan selepas KPT bersetuju menanggung sepenuhnya bayaran proses UPUOnline/UNIK ID kepada semua pemohon bagi sesi akademik 2021/2022, tahun lalu. -SM

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button