Parlimen

Kebanyakan audit IASA berikutan penurunan taraf CAAM telah diselesaikan

KEBANYAKAN penemuan audit Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA) berikutan penurunan taraf Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah diselesaikan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata daripada 29 penemuan audit, 26 telah diselesaikan berdasarkan sesi pengauditan semula yang dijalankan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat mengenai CAAM, dari 6 hingga 10 Dis.

Beliau berkata laporan bertulis mengenai penemuan audit semula itu kemudiannya diserahkan kepada Malaysia untuk tindakan pembetulan pada 10 Mei.

“FAA kemudian mengadakan perbincangan lanjut dengan CAAM berhubung tindakan pembetulan ke atas penemuan terbabit, pada 12 hingga 14 Julai. Ia dimaklumkan secara lisan oleh FAA bahawa 26 daripada 29 penemuan yang diperoleh dalam sesi pengauditan pada Disember tahun lalu telah berjaya diselesaikan.

“Kesemua 26 penemuan ini adalah berkaitan aspek teknikal CAAM. Bagaimanapun, terdapat tiga lagi penemuan yang tidak dapat diselesaikan iaitu dua daripadanya berkaitan dengan aspek perundangan dan satu lagi mengenai aspek teknikal dan latihan yang melibatkan penyediaan sukatan pelajaran untuk pemeriksa CAAM,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Menteri.

Wee menjawab Abdul Latiff Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) mengenai status dan tindakan yang diambil oleh Kementerian Pengangkutan berikutan penurunan penarafan keselamatan CAAM daripada Kategori 1 kepada Kategori 2 oleh FAA pada November 2019, serta tindakan persediaan oleh negara untuk mengekalkan keahlian sebagai ahli majlis dalam Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

Pada November 2019, FAA sebelum ini dilaporkan telah menurunkan penarafan keselamatan CAAM daripada Kategori 1 kepada Kategori 2. -SM

Wee berkata tindakan pembetulan untuk merangkumi tiga penemuan itu telah diserahkan kepada FAA pada 25 Julai, dengan agensi itu dijangka mengumumkan keputusan berhubung penarafan semula pada Ogos.

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button