
BARBARIK Tidak Gentar Bertembung Konsert Lain, Janjikan Konsert 2 Jam Sarat Energi
KUMPULAN rock BARBARIK tidak gentar untuk mengadakan konsert pada tarikh yang sama dengan dua lagi acara muzik lain, kerana yakin dengan perbezaan audiens dari segi umur dan minat.
Menurut gitaris utama kumpulan, Jo Branko atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 56, pertembungan tersebut bukan satu isu besar memandangkan konsert mereka menyasarkan khalayak yang berbeza.

“Tempat konsert pun bukan besar sangat, hanya di Zepp Kuala Lumpur. Generasi yang hadir untuk konsert-konsert lain itu pun bukan sama dengan kita. Sudah tentu pengikutnya berbeza. Lainlah kalau sama generasi, itu mungkin jadi masalah. Tapi saya yakin, insya-Allah tiada masalah,” katanya.
Konsert istimewa ini bukan sekadar meraikan pelancaran album terbaharu BARBARIK, Peluru Cokelat, malah menjadi simbol kebangkitan semula dua legenda rock tanah air – Muss dan Jo Branko – yang kembali bersatu untuk memperkukuh nama mereka dalam industri muzik tanah air.
2 Jam Penuh Energi & Segmen Istimewa ‘Retro Akustika’
Konsert yang dijangka berlangsung selama dua jam ini bakal menyajikan lebih 20 buah lagu termasuk karya-karya dari album Peluru Cokelat, serta lagu-lagu klasik era 1980-an dan 1990-an menerusi segmen khas ‘Retro Akustika’.
Segmen ini akan mempersembahkan gandingan gitaris undangan hebat seperti Shah Slam, Ujang Tukimon, dan Muzza, serta tentunya Jo Branko sendiri, diiringi oleh lapan orang pemuzik string octet yang akan memberikan nuansa segar dan berbeza pada malam bersejarah tersebut.
Karl Cromok Turut Beraksi – Golok Kayu Antara Tarikan Utama
Sebagai bonus buat peminat muzik metal tempatan, Karl Cromok – gitaris utama kumpulan Cromok yang sinonim dengan dunia thrash metal sejak 1987 – akan tampil secara eksklusif untuk menyampaikan lagu Golok Kayu. Kehadirannya dijangka menjadi antara detik paling dinanti dalam konsert ini.
Shah Slam (Exist, Slam), Ujang Tukimon (MonSons Studio), dan Muzza (komposer dan penyanyi muda berbakat) turut melengkapkan barisan pemuzik undangan yang bakal menghidupkan pentas dengan persembahan mantap dan bertenaga.
Maklumat Tiket dan Meet & Greet Eksklusif
Tiket boleh dibeli menerusi laman rasmi ilassotickets.com dengan kategori berikut:
-
CAT 1: RM150 (Free Standing)
-
CAT 2: RM380 (VVIP Seating)
-
CAT 3: RM280 (VIP Seating)
-
VIP Box: RM8,000 (untuk 10 orang)
Selain itu, sesi Meet & Greet eksklusif bersama BARBARIK turut diadakan pada 29 Jun 2025, jam 2.00 petang di Heritage Club Royale Chulan. Harga penyertaan adalah RM100 seorang, terhad kepada 200 orang sahaja.
Untuk pembelian VIP Box atau penyertaan sesi Meet & Greet, sila hubungi Jat di talian +6011 5502 5020.