Hiburan

Barbarik ‘Pentas Keras’ akan buat peminat muzik rock keras ‘tahan kencing’!

Konsert Barbarik ‘Pentas Keras’ akan buatkan peminat irama muzik keras sanggup ‘tahan kencing’ melayan lagu-lagu yang dipersembahkan biar pun ia akan berlangsung selama dua jam.

Itu jaminan komposer dan bekas gitaris kumpulan Wings, Joe Branko dan Muss yang menjadi tonggak utama projek mega yang dibantu 30 kru termasuk pemuzik professional tanah air.

Ujar Joe, konsert Barbarik ‘Pentas Keras’ diadakan kerana selepas 20 tahun, peminat lagu-lagu Wings mula bercakap tentang lagu-lagu dalam album Mr. Barbarik yang pernah diterbitkan pada tahun 2000.

Maka dengan itu, Joe mengambil keputusan untuk memanggil Muss bagi menjayakan projek mega ini pada tahap yang luar biasa dengan idea-idea yang lebih segar dan membangkitkan memori 80-an.

Joe Branko dan Muss akan dendangkan lagu 20 tahun lepas yang diterbitkan dalam album Mr. Barbarik

Khas buat mat rock yang ikuti kumpulan Wings

“Konsert ini sesuai untuk mat rock-mat rock yang sememangnya ikut kita (kumpulan Wings) sejak dari zaman remaja sehingga ada yang sudah berkahwin.

“Lebih-lebih lagi pada zaman sekarang, memang banyak konsert diadakan tetapi konsert yang membawa betul-betul irama rock keras, saya fikir belum ada,” ujarnya dalam sidang media eksklusif.

Tambah Joe lagi, biar pun banyak individu yang terlibat dalam pelaksanaan album Mr. Barbarik suatu ketika dahulu sudah pun meninggal dunia, karya-karya mereka tetap diangkat pada masa ini.

“Peminat irama rock keras akan dibawa menyelusuri konsert zaman 80-an. Barbarik ‘Pentas Keras’ tidak akan gunakan sebarang LED yang ketika ini sudah terlalu banyak digunakan.

“Konsert itu lebih fokus kepada konsep pencahayaan dan penyanyi itu sendiri iaitu Muss. Maka dari sudut untuk mengambil gambar dan sebagainya, ia jadi lebih cantik berbanding diganggu cahaya LED,” ujarnya.

Nyanyi semula lagu 20 tahun lepas

Ketika Muss menerima tawaran Joe, Muss mengakui agak rasa tercabar kerana melihat senarai lagu yang dicadangkan, ia adalah nyanyian Muss kira-kira 20 tahun lepas.

“Jadi saya tak beri sebarang pengharapan. Saya cakap kepada Joe, kita berlatih terlebih dahulu dan daripada seminggu, akhirnya tiba hari ini dan konsert tidak lama lagi.

“Dari segi nyanyian, ada lagu yang dikekalkan iramanya dan ada lagu yang diberi sedikit perubahan namun tujuannya adalah berdasarkan kesesuaian konsert,” katanya.

Muss dan Joe Branko akan berganding dalam kosnert Barbarik ‘Pentas Keras’

Sebanyak 20 lagu akan dimainkan dan antara lagu yang dipersembahkan adalah seperti Singa dan Harimau, Inspirasi Syakila, Keris Tak Bersarung serta banyak lagi.

Ujar Muss, kebanyakan pemilihan lagu adalah daripada Joe dan Joe sebenarnya sudah lama berhasrat dan merancang mahu melaksanakan projek Barbarik ‘Pentas Keras’.

20 lagu penuh dengan drama

Muss turut berkongsi rasa bahawa untuk menjayakan projek mega ini, beliau perlu mendapatkan stamina yang baik di samping menjaga kesihatan untuk tampil bertenaga.

Barbarik ‘Pentas Keras’ menjanjikan sebuah konsert penuh eksperimental daripada Joe dan kru serta tenaga profesional yang terlibat demi memberi kepuasan kepada peminat.

Konsert ini dijadualkan menemui peminat pada 24 Disember 2022 di Zepp Kuala Lumpur dan peminat diminta bersedia untuk melayan bunyi gitar yang nyaring serta jeritan Muss yang cukup padu!

(Visited 641 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button