Hiburan

Lagu lebih tular berbanding penyanyi, Eza Edmond tak kisah asalkan karyanya diterima

Wajahnya mungkin kurang dikenali namun tatkala menyebutkan sahaja lagu Bahagia, nama Eza Edmond pasti akan terlintas difikiran kebanyakan peminat.

Siapa sangka lagu tersebut benar-benar melonjakkan namanya seterusnya memperkenalkan dirinya kepada khalayak umum.

Bagi Eza, Bahagia benar-benar memberikan pengalaman berharga buatnya. Lebih 10 juta tontonan di YouTube rasmi dan 40 juta tontonan di saluran lain membuatkan dia antara orang paling gembira.

Kini setelah tiga tahun merakamkan Bahagia, dia tampil dengan lagu Miliku Hatiku yang dilancarkan secara rasmi di saluran YouTube Sheikh Qalam Records pada Jumaat, 25 Februari lalu.

“Memang saya gembira apabila perjalanan sebagai penyanyi dipermudahkan. Masa mula merakamkan Bahagia dulu, saya sendiri tidak menyangka lagu tersebut diterima baik oleh peminat sehingga viral.

“Sudah pasti apabila hadir dengan single baharu, saya berharap momentum itu akan berkekalan. Setidaknya Miliki Hatimu secara perlahan-lahan diterima ramai seterusnya mengingatkan semula ingatan peminat kepada diri ini,” katanya lagi.

Jika Bahagia berkisar kepada kisah duka dalam percintaan, Miliku Hatiku pula lebih pop, mudah didengar dan mempunyai mesej positif dalam perhubungan.

Lagu yang diciptakan bersama dengan Aizuddin Madani itu mempunyai bait-bait lirik yang mudah difahami dan tidak berkiasan seperti kebanyakan lagu lain.

Kata anak kelahiran Papar, Sabah ini lagi, trend semasa yang mahukan lirik dan mesej sebegitu menjadi pedoman kepadanya dalam berkarya.

“Bila saya rakamkan Bahagia dulu, saya dapat rasakan pendengar lebih suka kepada lirik yang mudah difahami. Sebab itu untuk lagu kali ini, saya gunakan formula yang sama.

“Harapnya, Miliki Hatiku akan mampu diterima baik selepas dilancarkan. Soal lambat diterima atau tidak, saya tak kisah. Asalkan masih ada yang sudi mendengar pun sudah cukup baik,” tambahnya.

Eza atau nama sebenarnya Eza Hafizah Edmond baru sahaja menyelesaikan pengajian ijazah dalam bidang Persembahan Muzik di UITM Shah Alam, Selangor.

Dia yang kini ‘terkandas’ di kampung kelahirannya di Papar, berharap agar Pandemik Covid19 ini segera berakhir untuk memudahkannya kembali ke Kuala Lumpur bagi meneruskan acara promosi dan sebagainya.

“Buat masa ini saya masih berada di kampung. Kalau keadaan reda barulah saya pulang ke ibu kota. Sekarang saya hanya fokus membuat promosi secara online dahulu,” tambahnya lagi.

Miliki Hatiku sudah berada disemua platform digital dan lagu ini dilancarkan secara rasmi pada pukul 9 malam pada tanggal 25 Februari di saluran YouTube Sheikh Qalam Records. Layari https://youtube.com/watch?v=hxMYUAGKbUo&feature=share untuk menonton. -SM

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button