Nasional

Yang di-Pertuan Agong juga jalani kuarantin 14 hari

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut menjalani kuarantin 14 hari. kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali.

Katanya, itu menunjukkan tiada sesiapa yang mengatasi undang-undang dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Ini kerana ia melibatkan nyawa manusia.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, begitu juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut menjalani kuarantin di rumah.

“Berkenaan langgar SOPini, tidak ada sesiapa yang mengatasi undang-undang. Sebab undang-undang yang dibuat ini bukan untuk mendera sesiapa tetapi untuk menyelamatkan negara, menyelamatkan nyawa manusia,” katanya ketika sewaktu sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Noor Azmi berkata, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri sendiri melalui fasa Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah iaitu kuarantin di rumah dan siapa saja yang melanggari sekarang ni kita kenakan kompaun RM1,000.

Beliau memberikan jawapan itu ketika menjawab soalan tambahan Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR – Setiawangsa) mengenai orang kenamaan seperti menteri yang tidak mematuhi SOP bagi membendung penularan Covid-19.

Nik Nazmi juga menyoal sekiranya golongan atasan dan orang kenamaan perlu dikenakan kompaun yang lebih besar.

Dr. Noor Azmi berkata, berdasarkan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta 342 Seksyen 25 kompaun yang dikenakan adalah RM1,000.

“Tetapi kalau ada kes contohnya kes-kes yang lebih serius, yang telah dijalankan oleh pihak polis umpamanya… maka ini terpulang kepada agensi yang seterusnya. Contohnya pihak polis dan juga peguam.

“Kalau kes melalui Seksyen 24 dihadapkan ke mahkamah, mereka akan buat keputusan yang selayaknya untuk sesuatu kesalahan yang dilakukan tidak kira sesiapa pun,” katanya.

Walaupun Nik Nazmi tidak menyebut nama sesiapa, tetapi ia dipercayai merujuk kepada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Khairuddin Aman Razali telah dikompaun sebanyak RM1,000 kerana tidak melakukan kuarantin kendiri selepas pulang dari luar negara.

Sultan Abdullah dan Tunku Hajah Azizah menjalani kuarantin selama 14 hari selepas Istana Negara mengesahkan tujuh petugasnya positif Covid-19.

Sementara pada 22 Mei lalu, perdana menteri menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari susulan kehadirannya dalam mesyuarat pascakabinet di Putrajaya turut dihadiri seorang pegawai yang positif Covid-19 walaupun ujian saringan mengesahkan Muhyiddin negatif.

Namun, menurut perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kontak Covid-19 (Seksyen 15(1) Akta 342), beliau perlu menjalani kuarantin di rumah selama 14 hari.- SM

(Visited 688 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button