Luar Negara

Wanita maut selepas makan ikan sardin diawet sendiri di restoran

JANGAN sesiapa pandai-pandai nak mengawet makanan sendiri kerana jika tidak diawet secara sempurna, ia boleh menyebabkan kematian kepada yang memakan makanan tersebut.

Inilah yang terjadi ke atas seorang wanita yang meninggal dunia selepas dia makan hidangan ikan sardin di sebuah restoran di Bordeaux, Perancis, semalam.

Mangsa bersama 12 orang lain yang kebanyakannya adalah warga asing diserang sejenis penyakit saraf yang serius, Botulisme selepas memakan hidangan tersebut.

Pegawai kesihatan Perancis mengesahkan mangsa-mangsa lain masih dirawat kerana Botulisme yang biasanya disebabkan oleh makan makanan yang tidak diawet dengan sempurna.

Restoran di pusat bandar itu mengawet sendiri sardin yang dihidangkan kepada pelanggan, kata Direktorat Kesihatan Perancis (DGS).

Di hospital Pellegrin, Bordeaux, Dr Benjamin Clouzeau berkata, mangsa, wanita itu mendaftar masuk ke hospital berhampiran Paris selepas pulang dari restoran itu bersama pasangannya.

Mangsa meninggal dunia sejurus pulang ke rumah. Pasangannya pula masih dirawat di unit rawatan rapi.

Difahamkan, seramai 12 orang masih menerima rawatan kecemasan, kata perkhidmatan kesihatan. Lima daripada mereka terpaksa diberikan bantuan sokongan pernafasan.

Mangsa terdiri daripada warga Amerika Syarikat, Ireland, Jerman dan Kanada. Seorang warga Jerman sudah pulang ke negaranya untuk mendapatkan rawatan, begitu juga seorang penduduk Barcelona, Sepanyol, kata doktor itu.

Mereka makan di Restoran Tchin Tchin Wine Bar antara 4 dan 10 September lalu yang mana restoran itu terkenal dalam kalangan pelancong di bandar barat daya Perancis.

“Mereka memesan ikan sardin yang diawet sendiri oleh pemilik restoran itu di dalam balang,” kata DGS. – SM

BACA Sardin Viral sasar jualan RM12.6 juta

 

(Visited 100 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button