NasionalParlimen

Bantuan RMT tidak terjejas tahun ini – Radzi Jidin

Bajet 2023 belum diluluskan Dewan Rakyat

IBU bapa tidak perlu bimbang pemberian bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk kalangan pelajar yang telah dinaikkan kepada RM3.50 dan RM4 mulai bulan ini tidak akan terjejas walaupun Bajet 2023 yang dibentangkan adalah ‘Bajet tergantung’ kerana belum diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin memberi jaminan tersebut dengan mengatakan bahawa kenaikan kadar RMT itu tidak menggunakan peruntukan untuk tahun hadapan.

Sebaliknya, Radzi menjelaskan, ia menggunakan dana sedia ada untuk tahun ini.

Kementerian Pendidikan (KPM) bagaimanapun akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan (MOF) bagi meneliti kaedah pelaksanaan terbaik untuk tahun ini, katanya.

“Kita sedang mengkaji dan melihat di peringkat kementerian tentang apakah pendekatan yang kita boleh gunakan dan akan gunakan.

“Apabila kita akan laksanakan untuk tahun ini, ada peruntukan telah disediakan,” jelas beliau.

Secara umumnya, kata Radzi lagi, kita sedang berbincang tentang jumlah peruntukan tersebut.

“Biasanya apabila diumumkan, itu telah ada peruntukan untuk perkara tersebut dan akan duduk bincang semula dengan Kementerian Kewangan apakah kaedah pelaksanaan untuk tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat pelepasan peserta Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat ketiga Putrajaya – Genting Highlands di Dataran Putrajaya, hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Bajet 2023 mengumumkan kenaikan kadar bantuan RMT buat semua penerima berkuat kuasa bulan ini.

Menurut beliau, kadar RMT dinaikkan daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk murid-murid di Semenanjung.

Kadar RMT untuk murid-murid di Sabah, Sarawak dan Labuan pula akan ditambah daripada RM3 kepada RM4.

Sejumlah RM777 juta disediakan iaitu peningkatan signifikan berbanding RM280 juta pada 2020.

Lebih 800,000 murid dan 7,300 pengusaha makanan serta pembekal susu tempatan akan menerima manfaat daripada penambahbaikan bantuan RMT itu. – SM

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button