Nasional

Pemilik Crackhouse Comedy Club dilarang daftar perniagaan di KL seumur hidup

Jadikan ini satu pengajaran kepada Keluarga Malaysia

JADIKAN ini satu pengajaran kepada Keluarga Malaysia. Kenalah beringat dan jangan sekali-kali mempersendakan agama terutamanya agama Islam.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 29 Julai lalu bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi Crackhouse Comedy Club berkuat kuasa 30 Julai lalu.

Mesyuarat itu turut memutuskan, pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam daripada mendaftarkan sebarang perniagaan di Kuala Lumpur seumur hidup.

Keputusan itu dibuat susulan kontroversi seorang wanita Melayu menanggalkan pakaian menutup aurat ketika melakukan persembahan di kelab komedi itu.

“Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftar sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur walaupun menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya dalam sidang media di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Beliau berkata, beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti seumpama itu di sekitar ibu negara turut dipantau pihaknya.

“Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada yang terlepas daripada tindakan kami,” jelas beliau.

DBKL menggantung sementara operasi Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) mulai 10 Julai lalu kerana tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Pada 13 Julai lalu, Jalaluddin dilaporkan berkata, premis itu hanya memiliki lesen restoran dan minuman keras tetapi bukannya lesen hiburan.

Pada hari sama, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi itu ketika membuat stand up comedy, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama dalam kalangan umat Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan pada hari yang sama atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial.

Susulan itu, pengasas bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman pada 22 Julai lalu. – SM

(Visited 148 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button