Politik

Bantuan Khas Raya RM500 untuk 8,000 penjawat awam Pahang

PENJAWAT awam di negeri Pahang akan menerima Bantuan Khas Aidil Fitri sebanyak RM500 seorang sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri 1441 Hijrah tahun ini.

Seramai 8,000 penjawat awam daripada Gred JUSA dan ke bawah akan menerima bantuan yang akan dibayar pada 19 Mei ini.

Menurut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pemberian bantuan khas raya itu sebagai tanda penghargaan atas khidmat bakti dan mereka kepada Kerajaan Negeri selama ini.

“Saya berharap, Bantuan Khas ini dapat dimanfaatkan sewajarnya, bagi meraikan Hari Raya Aidil Fitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sekarang.

“Saya juga meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Badan-badan Berkanun Negeri supaya turut melaksanakan pembayaran yang sama,” kata Wan Rosdy.

Terdapat kira-kira 3,500 pegawai dan kakitangan yang berkhidmat di PBT-PBT serta Badan-badan Berkanun di negeri ini.

Bayaran bantuan khas itu melibatkan implikasi kewangan kepada Kerajaan Negeri kira-kira RM4 juta.

Dua hari lepas Jabatan Perkhidmatan Awam mengumumkan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan Gred 56 dan ke bawah yang masih berkhidmat pada 20 Mei 2020 akan menerima Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 sebanyak RM500.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2020 berkata kerajaan memutuskan bantuan khas itu yang akan dibayar pada 20 Mei ini dengan pesara kerajaan menerima pencen turut menerima bantuan berjumlah RM250

“Pegawai yang layak diberi Bantuan Khas Aidilfitri Tahun 2020 adalah seperti berikut: pegawai lantikan tetap, sementara dan ‘contract of service’; pegawai yang bercuti bergaji penuh; pegawai yang bercuti separuh gaji; pegawai yang bercuti tanpa gaji; dan pegawai yang dipinjamkan termasuk ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya. Bantuan Khas Aidilfitri ini akan dibayar oleh agensi yang menerima peminjaman pegawai.

“Bantuan khas ini juga dipanjangkan kepada guru interim; pemandu yang dilantik sendiri oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak mendapatkan khidmat pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya,” katanya dalam pekeliling itu.

Jelas Mohd khairul Adib lagi, pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran, Hakim dan Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971 turut layak menerima bantuan itu. – SM

(Visited 259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button