Uncategorized

Bantuan Keluarga Malaysia beri bantuan maksimum RM2,500

BANTUAN Keluarga Malaysa (BKM) akan diberikan kepada kumpulan yang benar-benar terkesan dengan jumlah bantuan yang lebih tinggi berbanding Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, pembaharuan ini telah mengambil kira cadangan yang diterima daripada orang ramai melalui penerbitan Kertas Konsultasi Awam berhubung penambahbaikan bantuan rakyat.

“Untuk tahun 2022, BKM akan menyalurkan bantuan iaitu sebanyak RM2,000 kepada isi rumah yang mempunyai tiga orang anak atau lebih dengan pendapatan kurang RM2,500 sebulan.

“Pemberian bantuan ini merupakan peningkatan berbanding RM1,800 ringgit iaitu kadar tertinggi di bawah Bantuan Prihatin Rakyat (atau BPR) sebelum ini,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan juga akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM500 lagi kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.


Jelasnya, selain itu, bantuan tambahan sebanyak RM300 lagi turut diberikan kepada isi rumah warga emas. Ini bermakna, kepada ibu atau bapa tunggal dengan tiga anak atau lebih, layak mendapat BKM maksimum sebanyak RM2,500.

“Secara keseluruhan, BKM akan memanfaatkan lebih 9.6 juta penerima dengan peruntukan RM8.2 bilion iaitu peningkatan berbanding 8.6 juta penerima dengan peruntukan RM7 bilion di bawah BPR.

“Selanjutnya, berhubung bantuan yang disalurkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, syarat kelayakan kebajikan akan dinaikkan kepada Paras Garis Kemiskinan Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding PGK 2016 iaitu RM980 ringgit sebelum ini,” katanya.

Ujarnya, usaha meluaskan liputan perlindungan sosial ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan bagi memastikan bantuan yang sampai ke tangan mereka yang memerlukan, turut mengambil kira kenaikan kos sara hidup semasa.

Tambahnya, oleh itu, dengan kenaikan ini, lebih ramai akan menikmati faedah bantuan kebajikan di bawah JKM dengan peruntukan tambahan 200 juta ringgit.

“Secara keseluruhan, 2.4 bilion ringgit disediakan bagi penyaluran bantuan kebajikan untuk manfaat lebih 440 ribu isi rumah memerlukan,” jelasnya. -SM

(Visited 66 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button