Nasional

Bantuan diberi secara terus kepada balu, lima anak

Video sidang akhbar di bawah

PERTIKAIAN mengenai nasib anak Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd. Zahir Armaya tidak sepatutnya timbul apabila bantuan diberikan mengikut peraturan ditetapkan.

Hal berkenaan dijelaskan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang memaklumkan pelbagai faedah disalurkan kepada setiap waris Allahyarham.

Antara penerima faedah daripada JHEV adalah ibu, Rusunjan Mohamad, balu, Nour Shafinar Harun dan lima orang anak.

Anak yang menerima faedah tersebut termasuklah tiga anak kandung dan dua orang anak tiri dipihak balu Allahyarham.

“Untuk bayaran (faedah) kepada balu, kita bayar terus kepada balu. Bayaran kepada anak bekas isteri kita bayarkan kepada akaun anaknya.

“Untuk anak yang bersama dengan balu, ada tiga orang anak, kita bayar ke akaun balu. Manakala bagi anak Allahyarham yang berada dengan bekas isteri, kita bayar ke dalam akaun anak.”

Demikian penjelasan Ketua Pengarah JHEV, Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad dalam satu sidang akhbar menafikan anak Allahyarham Mohd. Zahir terabai.

Dalam sidang akhbar tersebut beliau memaklumkan bayaran secara one-off kepada ibu, balu dan lima anak berjumlah RM108,004.73 sudahpun dibuat pada Mac 2020 dan Oktober tahun lepas.

Bagi ibunya, jumlah bayaran one-off yang diterima adalah Ganjaran Terbitan berjumlah RM16,029 dan turut menerima Pencen Terbitan (PT) dan Pencen Orang Tanggungan (POT) berjumlah RM1,253.91 setiap bulan.

Bayaran tersebut sudahpun dibayar mulai April lalu mengikut pecahan PT sebanyak RM401.68 dan POT RM852.23.

Sementara balu pula menerima one-off Ganjaran Terbitan dan Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) berjumlah RM91,983.73.

Balu juga turut menerima faedah bulanan seperti PT, POT dan Ex Gratia Orang Tanggungan (EXOT) berjumlah RM5,416.62 yang dibayar sejak November tahun lalu.

PT yang diterima balu adalah bernilai RM1,326.08, POT pula diterima bagi tiga orang anak termasuk anak tiri berjumlah RM2,506.54 dan EXOT bagi anak kandung sahaja sebanyak RM1,584.

Anak dengan bekas isteri iaitu Mohamad Remy Iskandar dan Mohamad Ebel Zulkarnain pula menerima one-off Ganjaran Terbitan dan FGCR berjumlah RM32,923.28.

Bayaran bulanan diterima juga melibatkan PT bagi dua orang anak kandung berjumlah RM530,43, POT (RM557) dan EXOT (RM576).

Dalam pada itu, Dzulkarnain turut memaklumkan berhubung insurans yang diperoleh sekitar RM200,000 adalah diluar bidang kuasa JHEV.

Malah, beliau juga menegaskan kebajikan orang tanggungan Allahyarham tetap tidak akan dibaikan sebagai mengenang jasa pengorbanannya.

“JHEV ATM ingin menegaskan sekali lagi bahawa Orang tanggungan Allahyarham Mohd. Zahir tidak akan sesekali diabaikan oleh Kementerian Pertahanan.

“Malahan segala bentuk bantuan semasa seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Bantuan Khas Kerajaan (BKK) dan Skim bantuan lain yang bersesuaian akan disalurkan dari masa ke semasa mengikut permohonan dan keperluan.

“Jasa bakti serta pengorbanan Allahyarham kepada negara sentiasa akan dikenang dan dihargai sampai bila-bila,” ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham Mohd. Zahir terkorban ketika terlibat dalam kemalangan ketika latihan di Kem Lok Kawi di Kota Kinabalu, Sabah.

Hasil Lembaga Siasatan yang telah dibuat oleh Tentera Darat Malaysia, insiden tersebut telah diklasifikasikan sebagai kemalangan dalam latihan dan diperkaitan dengan tugas.

Sebelum ini juga selebriti dan pengarah veteran AR Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie, 71, mendakwa haknya sebagai bapa untuk mewarisi sebahagian harta tinggalan Allahyarham anaknya dinafikan. – SM

(Visited 606 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button