Ekonomi

Malaysia ke arah capai trajektori ekonomi lebih baik pasca PRN

MALAYSIA kini boleh memberi perhatian penuh dan menuju ke arah mencapai trajektori ekonomi lebih baik selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada Sabtu lepas, kata penganalisis.

Kerajaan juga dilihat komited untuk memacu pertumbuhan ekonomi pada 2024 dengan meningkatkan kemajuan sosial dan ekonomi negara, kata seorang ahli ekonomi.

Ketika berkongsi pandangannya, Ketua Ahli Ekonomi Global Juwai IQI, Shan Saeed berkata, tempoh tiga bulan lepas telah membuktikan kemampuan Malaysia meraih perhatian pelabur global yang bertindak memperuntukkan dana bagi pelaburan jangka panjang, termasuk daripada syarikat automotif Tesla untuk menjadikan negara ini sebagai hab serantaunya berikutan kestabilan makroekonomi.

“Di tengah-tengah usaha negara-negara lain yang bergelut untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan berdepan keadaan lebih perlahan seperti Singapura, United Kingdom, Korea Selatan dan Jepun, Malaysia sebaliknya terus mara bagi mencapai trajektori yang lebih baik,” katanya.

Laporan pelaburan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menunjukkan kemampuan Malaysia yang sekali lagi mengukuhkan kedudukan sebagai destinasi pelaburan utama dan menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM71.4 bilion pada suku pertama 2023.

Shan berkata, kesemua pelaburan itu yang meliputi sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, dijangka menjana kemakmuran serta mewujudkan sejumlah 23,977 peluang pekerjaan di seluruh negara.

Pada masa sama, katanya, pelaburan langsung asing (FDI) terus mengatasi pelaburan langsung domestik (DDI) dengan menyumbang RM37.5 bilion atau 52.5 peratus daripada jumlah pelaburan diluluskan.

“Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta Mida terbukti telah melaksanakan tugas dengan cemerlang dalam usaha memastikan Malaysia kekal menarik di mata pelabur global menerusi pelbagai usaha yang dilaksanakan.

“Ini hanya mengesahkan lagi unjuran pertumbuhan ekonomi Juwai IQI pada Januari 2023 bahawa keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekitar 4.5-5.5 peratus. Kami juga mengekalkan unjuran status quo berkaitan trajektori ekonomi yang berteraskan aspek kestabilan makroekonomi,” katanya.

PRN yang baru berakhir itu menyaksikan keputusan dengan kedudukan status quo kekal di enam negeri menerusi kemenangan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan manakala Perikatan Nasional (PN) menerajui pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid pula menyifatkan peratusan jumlah pengundian yang rendah menunjukkan sentimen segelintir rakyat terhadap keperluan menunaikan kewajipan tersebut.

“Selain itu, tiba masanya bagi kerajaan di peringkat Persekutuan untuk memaparkan kemampuan dalam memajukan ekonomi yang dapat memberi impak positif terhadap rakyat, perniagaan serta pelabur.

“Sehubungan itu, aspek seperti perincian Ekonomi Madani adalah penting bagi membolehkan rakyat benar-benar mengetahui hala tuju ekonomi negara,” katanya.

Afzanizam juga mengingatkan bahawa usaha pembaharuan ekonomi dalam aspek berkaitan subsidi serta cukai, juga penting dalam memastikan sumber terhad dapat dimanfaatkan dan disalurkan bagi menggalakkan pertumbuhan inklusif dan produktiviti yang lebih baik.

Berikutan itu, katanya, pelaksanaan projek-projek infrastruktur utama seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lebuhraya Pan Borneo dan projek rel adalah penting bagi mencetuskan impak limpahan positif dalam pelbagai industri iaitu sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Tidak kurang pentingnya adalah meningkatkan lagi industri berteknologi tinggi seperti aeroangkasa, pembuatan semikonduktor mewah, kenderaan elektrik dan industri kimia yang diperlukan dalam mewujudkan pekerjaan berkualiti serta bergaji tinggi untuk rakyat.

“Secara ringkasnya, tempoh 2023 hingga 2027 kelak adalah mengenai penyampaian hasil serta impak positif ke atas ekonomi.

“Jika kerajaan mampu melakukannya secara tepat, saya pasti ini dapat menarik aliran modal asing ke dalam negara yang akan meningkatkan nilai ringgit serta pasaran saham negara,” katanya. – Bernama

(Visited 205 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button