fbpx
Celoteh

Bantu anak orang semudah buat cucur labu!

BARU-baru ini Mak Teh temankan suami Mak Teh ke sebuah pasar raya untuk membeli barang keperluan dapur.
Memang begitulah rutin mingguan kami maklum sajalah kat rumah tu ramai, musim-musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ni, kena selalu ‘top up’ barang dapur dan keperluan.

Pilihan kami selalunya di Bangi Gateway dan Putrajaya sebab dekat dengan rumah. Kata orang sepelaung! Tapi kalau jalan kaki, memang tak sampai der!

Masa sedang leka kat rak susu seorang pemuda yang Mak Teh anggarkan dalam usia 20-an tiba-tiba menegur, “Kak tumpang tanya boleh? Mana satu susu sejat mana satu susu pekat manis?”

Dalam hati, “eh! budak ni bacalah… kan ada tertulis kat pelekat susu tu, pilih ajelah mana kau nak.” Itu kata-kata dalam hati bukan cakap depan dia.

Tapi sebagai kakak yang budiman aku lemparkan senyuman dan tunjuk kat dia dua jenis susu yang dicari dengan pelbagai jenama yang tersusun kemas di atas rak.


Lepas tu dia tanya lagi, “Kak, apa beza dua susu ni?”

Dan sebagai kakak yang baik, aku beritahu kat dia, susu pekat manis selalunya orang buat air manis macam milo, teh tarik dan kek.

Kek batik batik contohnya manakala susu cair untuk masak nasi beriani ke, nasi tomato ke nasi carrot ke nasi jagung ke nasi minyak ke campur sikit dalam teh tarik pun boleh buat puding boleh dan macam-macam lagi kegunaannya.

Ingatkan setakat itu sahaja, dia tanya lagi… “Kak… tadi akak cakap boleh buat kek kan, haaa… kek batik boleh ya?”

“Ya, boleh dik memang bahan wajib dia susu,” jawab Mak Teh pula.

Kali ni Mak Teh pulak ‘interview’ dia. “Awak datang dengan siapa? Tak pernah beli barang eh? Selalu sapa yang beli barang dapur? Kalau mak suruh kenapa dia tak tulis siap-siap jenama apa dia selalu gunakan so takdelah awak terngagau-ngagau nak mencari kesian pulak akak tengok awak.” Haaa amik kau. Panjang lebar soalan Mak Teh.

Yalah, Mak Teh tengok dia pegang tiga empat jenama tapi pegang letak, pegang letak. Dia teragak-agak nak pilih mana satu.

Rasa kesian pun ada, jadi Mak Teh tanya lagi, “Selalu nampak kat dapur tin yang mana satu?”
Jawab dia sambil tersenyum jujur, “Saya jarang masuk dapur, jadi saya tak tahulah kak. Selalu mak je yang uruskan hal dapur tapi bila dia suruh beli susu pekat manis dengan susu sejat, saya tak tahu mana satu.”

Ok dah dapat jawapan. Jadi, Mak Teh cadangkan kat dia call mak dia dan tanya balik jenama apa yang mak dia selalu guna.

Kang tersalah beli satu hal pulak nak dengar mak dia membebel. Dah beli takkan nak tukau balik?

Ni bukan kedai runcit yang kita boleh datang balik nak tukar-tukar barang. Dia ucap terima kasih dan nampak keluarkan telefon dari poket, mesti call mak dialah tu…. agaknyalah.

Ingatkan dah habis, tiba-tiba dia muncul lagi. Kali ni dekat bahagian susu segar pula… dalam hati, aik! Budak ni ‘follow’ aku ke?

Apa pula dia nak tanya kali ni. Tapi Mak Teh cuba bersangka baik yang dia pun nak cari barang lain walaupun kat tangan tak nampak dia pegang kertas yang ada senarai harga barang untuk dibeli.

Alah yang selalu suami-suami buat masa awal-awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu.
Dia pun kelihatan sibuk membelek jenama susu segar yang macam-macam jenama, angkat – baca – letak.

Lepas tu dia tegur lagi, “Kak, tadi akak cakap susu ni boleh buat kek batik kan. Boleh bagi resipi? Macam best je. Saya suka makan tapi tak reti nak buat. Saya nak cubalah”.

Dalam hati budak bertuah ni, kenapa tak tanya mak atau cik gugel je. Kan senang, cik Youtube pun boleh.

Mak Teh suruh dia beli biskut marie apa-apa jenama, serbuk koko, milo dan butter sebab susu dah ada.
Untuk cara-cara masak rujuk Youtube ler.

Terus dia senyum, tapi kalau versi akak, akak guna telur. Ada orang tak guna telur tau. Sebelum beredar, sempat dia cakap yang maknya suka makan kek batik dan kali ni dia nak buatkan untuk emaknya.

Dalam hati bagus budak ni. Mak Teh doakan dia dapat hasilkan kek batik yang sedap dan buatkan emaknya gembira dengan air tangan dia.

Walaupun pada awalnya dia hanya bertanya tentang susu tapi akhirnya dapat cetuskan idea untuk dia buat kek batik.

Kau orang jangan tanya jadi ke tak kek tu, nama dia pun tak tahu, inikan pula nak tanya mana rupa dan rasa kek batik dia.

Eh, panjang pulak celoteh Mak Teh ya, pasal susu je pun. Alah biasalah Mak Teh bukan jenis orang sombong yang kalau orang bertanya buat ‘dunno’ je, sebabnya kita pun ada anak lelaki dan Mak Teh selalu pesan kalau tak tahu, rajin bertanya.

So bila orang datang bertanya, Mak Teh tak lokek membantu. Tapi pertanyaan yang munasabahlah. Jangan le tanya pasal cara nak repair kereta memang kau takkan dapat jawapan sampai ke sudah.

Baiklah untuk minggu ni jom, kita masak cekodok labu atau cucur labu. Bahan-bahannya sangat mudah.

1/2 biji labu
2 cawan tepung gandum
1 – 2 sudu besar gula
Sedikit garam
Air suam (guna air rebusan labu)
Kelapa parut (tak letak pun boleh)
Minyak masak

Cara-cara:

Kupas labu, rebus sehingga lembut dan lenyekkan, campur semua bahan-bahan dan gaul sebati. Tepung akan sedikit kental sebab guna air suam. Goreng hingga kekuningan dan sedia untuk dihidangkan.
Selamat mencuba. Salam hujung minggu dari Mak Teh sekeluarga. – SM

Show More
Back to top button