Mahkamah

Pelajar sekolah, dua rakan didakwa samun lima warga Bangladesh

Seorang pelajar Tingkatan 3 bersama dua rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Gajah, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjatakan parang dan besi terhadap lima warga Bangladesh Disember tahun lalu.

Tertuduh berusia 15 tahun bersama Naufal Izmeiel Abdullah, 24, dan Muhammad Ridzuan Mat Nasir, 26, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nariman Badruddin selepas tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama dua orang yang masih bebas didakwa melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang dan besi hingga menyebabkan kecederaan terhadap lima warga Bangladesh.

Tertuduh juga didakwa mengambil wang tunai berjumlah RM1,700 dan empat telefon bimbit milik mangsa.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10 malam hingga 11.40 malam antara 3 November hingga 19 Disember lalu di kebun sayur Kampung Melekek, Kampung Kandang Kambing dan kebun buah Jalan Kemus, Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah.

Sabit kesalahan, kesemua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan di baca bersama bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Peguam Mohammad Zaki Abdul Shukor yang mewakili Muhamad Ridzuan merayu jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tidak bekerja. Dua lagi tertuduh bagaimanapun tidak diwakili peguam.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, Nariman kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM4,500 bagi kesemua pertuduhan untuk pesalah juvana.

Sementara itu, dua lagi tertuduh dibenarkan jaminan RM18,000 setiap seorang bagi kesemua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan tarikh 27 Februari depan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu akhbar melaporkan enam lelaki termasuk seorang pelajar sekolah yang dipercayai terlibat dalam tiga kes samun bersenjata menyasarkan pekerja kebun warga asing berjaya diberkas polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kesemua suspek berusia antara 13 sehingga 27 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Simpang Ampat di sini dan Sik, Kedah.

Beliau berkata, pada 4 Disember 2023 sekitar pukul 1.30 pagi, tiga mangsa warga Bangladesh mendakwa disamun lima lelaki bersenjatakan parang dan besi di rumah kongsi sebuah kebun sayur di Kampung Padang Kambing. – SM

habis…./

(Visited 96 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button