Ekonomi

Bank Rakyat sumbang RM168,000 kepada usahawan terjejas banjir di Yan

BANK RAKYAT memberi sumbangan berjumlah RM168,000 kepada usahawan terjejas akibat banjir kilat yang berlaku di Yan, Kedah beberapa minggu lalu.

Pemberian disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Haji Omar di Masjid Jame’ Badlishah di pekan Yan hari ini.

Menurut Noh, inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menerusi agensi di bawahnya membantu usahawan yang terjejas pendapatan berikutan kerosakan premis perniagaan akibat banjir berkenaan.

“Kementerian sentiasa menyokong hasrat Bank Rakyat di bawah pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) dalam melaksanakan usaha bagi berkongsi keuntungan yang diperoleh khususnya kepada golongan yang memerlukan termasuk usahawan bagi menyokong kelestarian perniagaan mereka terutamanya dalam waktu yang mencabar ini,” katanya beliau.

Turut hadir pada majlis penyampaian adalah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Muslimin Yahaya dan Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Suriani Datuk Ahmad.

Juga hadir, Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abd Rani Lebai Jaafar serta Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan.

Foto: Facebook Noh Omar

Sementara itu, Noh juga menyerahkan sumbangan Yayasan Bank Rakyat (YBR) berjumlah RM25,000 kepada lima buah sekolah terjejas banjir di sekitar kawasan tersebut dengan setiap sekolah menerima wang tunai sebanyak RM5,000.

Antara sekolah yang menerima bantuan termasuk Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, Sekolah Kebangsaan Langkasuka, Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) York Khoon, Sekolah Kebangsaan Haji Nyak Gam dan Maahad Tahfiz Al-Fityan Kampung Setar.

Penyerahan dibuat menerusi Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan, Kedah, Mukhtar Mansor.

Foto: Facebook Noh Omar

Sementara itu, Abd Rani berkata, Bank Rakyat juga menyumbang sebanyak RM40,000 kepada 200 keluarga terjejas banjir. Setiap keluarga akan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM200.

“Kami di Bank Rakyat sentiasa mendoakan mangsa banjir di daerah ini tabah menghadapi dugaan dan semoga usaha pemulihan di kawasan yang terjejas dapat dilaksanakan sebaiknya, Insya-Allah,” tambah Abd Rani.

Manakala Syed Abdul Aziz berharap menerusi bantuan yang disalurkan tersebut dapat membantu meringankan masalah aliran tunai golongan usahawan yang terkesan.

Mereka boleh menggunakan wang tersebut untuk membangunkan semula dan meneruskan aktiviti perniagaan berikutan pembukaan semula aktiviti perniagaan secara berperingkat yang diumumkan oleh Kerajaan baru-baru ini.-SM

 

(Visited 373 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button