Ekonomi

Bank Rakyat sokong penambahbaikan bantuan bayaran pembiayaan bersasar

Bank Rakyat menyokong penuh inisiatif Kerajaan untuk menambah baik Bantuan Bayaran Pembiayaan Bersasar yang diumumkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semasa membentangkan Belanjawan 2021 pada 6 November lalu.

Bank Rakyat berpendapat bahawa penambahbaikan ini wajar dilaksanakan bagi terus memberikan bantuan kepada yang memerlukan, lebih-lebih lagi kini pelanggan mempunyai pilihan penyelesaian kewangan yang sesuai dengan keperluan mereka.

Bank berkenaan juga mengalu-alukan usaha sebegini khususnya dalam membantu meringankan beban golongan yang terjejas seperti golongan B40 dan M40 dalam menghadapi kesan pandemik COVID-19, sekali gus menyokong fasa “revitalisasi” ekonomi negara.

Ia turut berharap agar industri perniagaan terutamanya perusahaan mikro bukan hanya dapat bertahan tetapi juga mampu berkembang dalam keadaan ekonomi semasa.

Menerusi inisiatif ini, bantuan tambahan akan diberikan kepada pelanggan Bank Rakyat daripada kategori B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) atau Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) serta perniagaan mikro yang mempunyai kemudahan pembiayaan dengan jumlah kelulusan sehingga RM150,000.

Pelanggan yang mana pasangannya adalah penerima BSH atau BPR juga layak untuk menerima bantuan ini.

Bermula 23 November 2020 sehingga 30 Jun 2021, pelanggan B40 boleh memilih sama ada untuk menangguhkan ansuran bulanan selama 3 bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sehingga 50% selama 6 bulan.

Perniagaan mikro yang layak juga boleh mengemukakan permohonan mereka untuk membuat pilihan opsyen.

Bagi perusahaan mikro dengan jumlah kelulusan pembiayaan sehingga RM150,000 bagi setiap kemudahan, mereka perlu memenuhi kriteria yang telah ditetapkan iaitu perolehan jualan kurang daripada RM300,000 setahun dan mempunyai kurang daripada lima pekerja sepenuh masa.

Sementara itu, permohonan lanjutan moratorium dan Bantuan Bersasar sedia ada melalui proses yang dipermudahkan turut ditawarkan kepada pelanggan daripada kategori M40 yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Prihatin Nasional.

Pelanggan M40 yang layak hanya perlu membuat pengisytiharan kendiri berkenaan pengurangan pendapatan isi rumah mereka akibat wabak COVID-19 untuk menerima bantuan.

Semua permohonan yang diluluskan akan berkuatkuasa dari 1 Disember 2020 sehingga 30 Jun 2021.

Bagi memenuhi kriteria kelayakan, pembiayaan pelanggan juga mesti diluluskan sebelum 1 Oktober 2020 dan tidak tertunggak melebihi 90 hari pada tarikh permohonan.

Pelanggan boleh memohon melalui borang elektronik yang disediakan di laman web rasmi Bank Rakyat, www.bankrakyat.com.my, e-mel ke [email protected] (Sila sertakan nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor telefon bimbit), hubungi Pusat Panggilan di talian 1300 800 800 atau kunjungi cawangan yang berdekatan.

(Visited 939 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button