Politik

Mat Sabu bidas Hadi, dakwa turut bela nasib Rohingya ketika jadi Men. Pertahanan

BEKAS Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mendakwa tuduhan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak memperdulikan hal Rohingya adalah satu fitnah dan pembohongan yang cukup besar.

Menurutnya, ketika menjawat jawatan Menteri Pertahanan beliau seringkali membentangkan isu Rohingya setiap kali menghadiri mesyuarat di antara menteri-menteri pertahanan ASEAN ataupun di antara negara-negara di dalam ASEAN.

Presiden Parti Amanah Negara itu berkata, isu Rohingya merupakan tanggungjawab dan masalah bersama untuk diselesaikan.

“Ketika pertemuan bersama setiausaha pertahanan Amerika, menteri pertahanan UK, Perancis, Jerman, Australia, New Zealand, Russia, dan Menteri Pertahanan China saya sebagai Menteri Pertahanan Malaysia tegas menimbulkan isu Rohingya supaya jalan penyelesaian yang terbaik dicapai untuk menyelamatkan rakyat Rohingya yang dihalau keluar daripada tanah air mereka.

“Begitu juga sewaktu bertemu dengan Menteri Pertahanan Qatar, Kami membincangkan supaya Qatar memainkan peranan lebih hebat, menghulurkan bantuan lebih tinggi kepada rakyat Rohingya khasnya mebantu hospital Cox’s Bazar yang telah Malaysia membuka field hospitalnya di situ,” tegas Mohamad.

Abdul Hadi Awang semalam membidas pemimpin Pakatan Harapan yang didakwa hanya pandai bercakap kosong mengenai nasib pelarian Rohingya.

Presiden Pas itu berkata, partinya sanggup bersama Barisan Nasional sebelum ini dalam membela nasib Rohingya atas dasar kemanusiaan dan agama.

Abdul Hadi mendakwa, PH ketika berkuasa hanya kedengaran suara Tun Mahathir Mohamad keseorangan memperjuangkan isu Rohingya sedangkan pemimpin PH yang lain sibuk menghadapi krisis dalamannya kerana menanti Dr. Mahathir meletakkan jawatan.

“Oleh itu jika Hadi Awang mengatakan bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak memperdulikan hal Rohingya adalah satu fitnah dan pembohongan yang cukup besar.

“Mengapa Hadi Awang sanggup berbohong di atas isu Rohingya sedangkan saya sebagai Menteri Pertahanan Mlaysia termasuk Tun Mahathir selaku Perdana Menteri amat lantang menyuarakan pembelaan terhadap Umat Islam Rohingya dan pelarian Rohingya secara amnya yang ditindas oleh kerajaan zalim Myanmar pimpinan Aung San Suu Kyi,” kata Mohamad.-SM

(Visited 211 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button