Ekonomi

Bank Rakyat santuni lebih 3,000 pelajar menerusi Karnival Ramadan Nuri

BANK RAKYAT menyantuni lebih 3,000 pelajar menerusi penganjuran Karnival Ramadan Nuri di lima buah sekolah terpilih bagi mengimarahkan sambutan bulan Ramadan selain mendukung aspirasi tanggungjawab sosial korporat dalam membangunkan masyarakat yang sejahtera dan mampan sejajar dengan konsep Malaysia Madani.

Antara sekolah yang terlibat termasuk Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Langkawi, Kedah; MRSM Kuantan, Pahang; Sekolah Menengah Sains Sabah, Sabah; Sekolah Menengah Sains Selangor, Kuala Lumpur dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat menerapkan nilai Ihsan Madani melalui pemberian sumbangan sempena sambutan Aidilfitri berjumlah RM46,500 kepada sekolah berkenaan untuk diagihkan kepada 310 pelajar asnaf yang terpilih.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata, bersempena dengan bulan Ramadan yang penuh barakah ini, Bank Rakyat mengambil peluang mendekati masyarakat terutamanya pelajar dengan melaksanakan pelbagai program dan aktiviti yang bermanfaat.

“Pelbagai program yang telah dianjurkan sepanjang berlangsungnya karnival ini seperti Rewang Ramadan yang dikendalikan oleh BaktiRAKYAT, Majlis Khatam al-Quran, sesi pengagihan bubur lambuk, jamuan berbuka puasa serta jualan bazar Ramadan Nuri Teenpreneurship,” katanya ketika berucap pada Karnival Ramadan Nuri di MRSM Langkawi baru-baru ini.

Mengulas lanjut tentang program yang diadakan beliau berkata, Nuri Teenpreneurship yang berkonsepkan jualan hari kantin sekolah ini merupakan usaha berterusan Bank Rakyat bagi menerapkan budaya dan kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar bertepatan dengan peranan Bank Rakyat sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Selaras dengan nilai Madani yang memupuk daya cipta, Bank Rakyat turut melancarkan inisiatif Rakan Strategik Bank Rakyat bersama Muafakat MARA di MRSM Langkawi, Kedah; MRSM Kuantan, Pahang dan MRSM Lenggong, Perak menerusi inisiatif Program Sekolah Tanpa Tunai yang bertujuan bagi meningkatkan kecelikan kewangan dalam kalangan pelajar dan mewujudkan ekosistem tanpa tunai di peringkat sekolah.

“Menerusi Program Sekolah Tanpa Tunai ini, Bank Rakyat menyediakan kemudahan sistem pembayaran tanpa tunai yang menerima kad debit sebagai kaedah pembayaran, perbankan digital kepada pelajar serta terminal pembayaran digital di kantin dan koperasi sekolah.”

“Inisiatif ini juga telah memanfaatkan lebih 8,200 pelajar dengan penglibatan sebanyak 29 sekolah di seluruh negara. Bank Rakyat sentiasa komited untuk terus membangunkan sebuah ekosistem kewangan yang inklusif dalam memastikan segenap lapisan termasuk generasi muda dapat bersama-sama menikmati kemakmuran digital seiring dengan saranan Bank Negara Malaysia (BNM),” tambah Ahmad Shahril. – SM 

Artikel berkaitan > Fitrah, filem pendek raya terbitan Bank Rakyat bakal menyentuh hati penonton

(Visited 201 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button