Ekonomi

RMK-12: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana diperkasa

Transformasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) akan diperkasa dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, PMKS merupakan tulang belakang kepada ekonomi negara.

Beliau berkata, bilangan PMKS dianggarkan hampir 1.2 juta, bersamaan dengan 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan sehingga akhir 2020 namun sebahagian besar PMKS masih kurang berdaya saing dan perlu diperkasa semula setelah terjejas akibat pandemik.

“Kerajaan komited untuk terus membantu dan menyokong pemulihan PMKS. Pada masa yang sama, PMKS digalakkan untuk meneruskan agenda tranformasi digital bagi memacu pertumbuhan dalam norma baharu pasca pandemik,” kata Ismail Sabri

Pemerkasaan PMKS antara Fokus pertama dalam RMK-12 Merancak Pertumbuhan Ekonomi. Ia turut tertumpu kepada usaha mengembalikan semula momentum pertumbuhan kesemua sektor ekonomi dan mewujudkan sumber pertumbuhan baharu.

Pertumbuhan beberapa industri yang strategik dan berimpak tinggi, iaitu elektrik dan elektronik, perkhidmatan global, aeroangkasa, industri halal, kreatif, pelancongan, biojisim dan aktiviti pertanian pintar akan dilonjakkan.

“Sukacita saya maklumkan, Kerajaan telah bersetuju meluluskan beberapa program dan projek utama untuk dilaksanakan dalam RMKe-12 bagi melonjakkan pertumbuhan sektor dan industri strategik.

“Antaranya ialah dana pinjaman pelaburan penyelidikan dan pembangunan bidang aeroangkasa, elektrik dan elektronik; penubuhan Centre of Excellence for Future Industry; dana harta intelek; dan skim pembiayaan mudah bagi pendigitalan dan penerimagunaan teknologi untuk menyokong syarikat tempatan beralih kepada teknologi termaju,” katanya.

Ismail Sabri berkata, melalui perancangan tersebut, Malaysia akan dapat mencapai sasaran pertumbuhan purata sektor perkhidmatan sebanyak 5.2 peratus, pembuatan 5.7 peratus, pertanian 3.8 peratus, perlombongan dan pengkuarian 2.6 peratus serta pembinaan 4.2 peratus dalam tempoh RMKe-12.

Sektor pelancongan yang paling terjejas berikutan pandemik dijangka akan pulih dengan sasaran pertumbuhan 3.8 peratus.

PMKS pula dijangka dapat menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK, dan 25 peratus kepada jumlah eksport pada tahun 2025. -SM

(Visited 468 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button