Ekonomi

Bank Rakyat perkenal kemudahan pembiayaan baharu khusus untuk usahawan industri sukan

Bank Rakyat memperkenalkan kemudahan pembiayaan baharu khusus bagi menyokong usahawan industri sukan negara menerusi Skim Pembiayaan Industri Sukan (SPIS) yang dilancarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) baru-baru ini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Syed Abdul Aziz Syed Hassan, kemudahan SPIS diperkenalkan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mendapatkan pembiayaan menerusi dana sebanyak RM10 juta yang disalurkan oleh MEDAC.

Ujar beliau, pelaksanaan PKP di seluruh negara menyebabkan kesemua acara dan pertandingan sukan tidak dapat dianjurkan dan menyebabkan kebanyakan usahawan dalam industri ini mengalami penurunan jualan, malah ada yang terpaksa menutup operasi perniagaan mereka.

“Justeru sebagai sebuah institusi kewangan pembangunan, Bank Rakyat sentiasa mengambil langkah proaktif dan menyeluruh bagi menyediakan kemudahan kewangan kepada komuniti usahawan mikro dan PKS daripada pelbagai sektor ekonomi,” tambah beliau.

Setakat ini, Bank Rakyat telah meluluskan jumlah pembiayaan melebihi RM1.72 juta dalam sektor sukan. Kemudahan SPIS ini dijangka dapat meningkatkan pemfokusan Bank berkenaan dalam sektor sukan termasuk bidang perkhidmatan dan peruncitan.

Selain itu, inisiatif ini juga merupakan salah satu daripada bantuan Bank Rakyat untuk pengusaha PKS selain daripada Bantuan Pembayaran Pembiayaan Bersasar dan pengumuman moratorium Perdana Menteri menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan pada 28 Jun 2021.

Menerusi program ini, nilai pembiayaan yang akan disalurkan adalah daripada RM20,000 sehingga RM500,000 bagi setiap usahawan mengikut kelayakan serta terma dan syarat, manakala tempoh bayaran balik pembiayaan adalah sehingga 7 tahun, termasuk tempoh moratorium sehingga 9 bulan.

Usahawan industri sukan yang boleh membuat permohonan termasuk pusat kecergasan, runcit, pengendali pusat sukan, penjagaan kesihatan (psikologi, fisioterapi), aktiviti        perniagaan (pereka, penyelidik, wartawan, ejen atlet, penganjur acara, perunding tajaan, pakar perlesenan dan perdagangan).

Selain itu, perniagaan tersebut mestilah berdaftar serta menjalankan aktiviti perniagaan yang patuh Syariah.

Pada masa yang sama, Bank Rakyat menawarkan Pembiayaan Mikro-i, BR Flexi-i, BR SJPP (Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan), Pembiayaan Harta-i, dan Pembiayaan Modal Kerja-i kepada usahawan mikro, PKS dan koperasi yang memerlukan dana dan pembiayaan untuk mengembangkan dan meningkatkan lagi perniagaan mereka.

Bank Rakyat juga menyediakan platform untuk Bank berinteraksi dengan pelanggan melalui pengimbasan kod QR yang dikenali sebagai QR2E bagi memudahkan urusan permohonan pembiayaan.

 

Untuk maklumat lanjut tentang SPIS atau pembiayaan mikro, PKS dan koperasi      pelanggan boleh kunjungi Pusat Perniagaan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Koperasi (SME & Cooperatives Business Centre, SMEC), e-mel; [email protected] atau hubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454.

(Visited 365 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button